Sepuluh soalan buat Menteri Kesihatan

Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam perbahasan ucapan Titah Diraja dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini, baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi telah membangkitkan sepuluh soalan yang diajukan kepada Menteri Kesihatan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengumumkan bahawa pegawai perubatan yang bertugas pada hari Sabtu dan Hari Kelepasan Am layak menuntut Elaun Lokum pada kadar RM80 sejam. 

- Advertisement -


“Justeru, apakah justifikasinya di atas keputusan memberikan elaun RM80 sejam ini kerana rata-rata doktor yang membuat lokum akan diberikan elaun lanjutan masa lebih kurang dalam RM40 hingga RM60 sejam.

“Ia juga adalah permintaan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sendiri supaya elaun on call kepada doktor-doktor kita pada hari ini dinaikkan daripada RM9 sejam kepada RM25 sejam,” katanya.

Sementara isu kedua yang diutarakan Ahmad Yunus ialah mengenai isu kenaikan harga ubat seperti dengan kadar minimum yang dimaklumkan oleh kementerian terbabit.

Beliau menegaskan bahawa kejatuhan ringgit dan pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan memberikan kesan kepada harga ubat-ubatan yang tinggi di Malaysia.

“Apakah tindakan pihak kerajaan bagi menangani isu kenaikan harga ubat ini?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isu ketiga yang mendapat perhatian Ahmad Yunus ialah berkenaan tunggakan bil perubatan warga asing khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI), yang mana jumlah keseluruhannya mencecah RM100 juta sehingga akhir 2023. 

“Apakah usaha kerajaan bagi mengutip tunggakan ini dan langkah yang diambil agar perkara ini tidak akan berulang kembali?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut membangkitkan isu keempat, berkait dengan pemeriksaan kesihatan pekerja asing di Malaysia yang dimonopoli oleh FOMEMA Sdn. Bhd. (FOMEMA).

“Negara kita mempunyai lebih daripada tiga juta pekerja asing dengan pemeriksaan yang memakan kos RM247. 

Asas pada kiraannya hampir RM1 billion berjaya dikutip daripada pemeriksaan kesihatan ini. Pihak kerajaan mesti meneliti proses ini supaya ianya tidak hanya dimonopoli oleh pihak tertentu agak perkara yang berkait dengan ketidaktelusan dapat dielakkan,” tegasnya.

Ahmad Yunus juga mengambil perhatian mengenai isu kesihatan awam, yang mana Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam yang telah diluluskan dalam sidang parlimen yang lalu. 

Beliau lantas bertanya, “Apakah status akta tersebut pada hari ini? Bilakah akan dilaksanakan akta ini? Apakah persiapan dan peraturan-peraturan yang mungkin sudah dirangka untuk dimaklumkan dalam sidang kali ini?” 

Isu keenam yang diutarakannya pula ialah mengenai rawatan Pre- exposure prophylaxis (PrEP) di negara ini.

“Apakah status terkini program rintis PrEP kepada individu-individu yang diberikan fokus seperti individu yang mempunyai pasangan HIV+, individu yang terlibat mengamalkan seks bebas dan seks songsang, dalam keadaan belum ada keputusan lagi daripada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) atau pun Jawatankuasa Fatwa?” soal beliau.

Tidak ketinggalan beliau juga menampilkan isu ‘energy stick’ yang katanya: “Baru-baru ini, kita telah dihangatkan dengan kehadiran ‘energy stick’. Ia cukup membahayakan terutamanya apabila alat ini sampai kepada anak-anak khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah di dalam negara kita.”

Isu kelapan dalam senarai pertanyaan Ahmad Yunus seterusnya ialah berkenaan Skim Perubatan MADANI.

“Program perintis asalnya 10 daerah tumpuan kemudian ditambah beberapa daerah lagi. Namun disebabkan masalah peruntukan yang terhad, sekarang di fokuskan semula ke 10 daerah asal.

“Di Selangor juga masih turut dilibatkan sedangkan Program Iltizam Sihat Selangor telah ada dan hanya lebih kurang 50% yang menggunakan manfaat program ini, begitu juga peratusan di beberapa daerah yg dilibatkan.

“Ada baiknya Selangor dikecualikan dan diberi kepada daerah di negeri lain yang telah diberikan sebelum ini dan lebih memerlukan,” hujahnya.

Dalam pada itu, Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan pada Jun 2023 juga mendapat perhatian daripada beliau.

“Apakah status pelaksanaan Kertas Putih tersebut yang telah di bentang dan diluluskan? Apakah pencapaian-pencapaian yang membawa kepada hala tuju untuk melakukan reformasi kesihatan di dalam negara kita?” soalnya.

Isu kesepuluh yang diutarakan beliau pula ialah mengenai International Health Regulations (IHR).

“Dimaklumkan bahawa telah diadakan mesyuarat dan libat urus di antara pihak kerajaan bersama wakil daripada KKM dengan pihak WHO.

“Apakah jaminan Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika dibangkitkan berkaitan isu kedaulatan negara? Apakah butiran-butiran terkini hasil dari libat urus tersebut yang boleh didedahkan kepada masyarakat awam?

“Apakah pendirian kerajaan dan kesan kepada rakyat terutamanya dalam sistem kesihatan negara kita?” soal Ahmad Yunus.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Menteri Kesihatan dapat memberikan jawapan yang tuntas terhadap kesemua sepuluh soalan yang telah disenaraikan beliau, dalam sidang Dewan Rakyat esok, Khamis (14 Mac). – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -