Negara masih kurang pakar sekuriti siber

Ustaz Nurul Amin Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara masih kekurangan pakar di bidang sekuriti siber yabg dapat menangani kejadian serangan-serangan siber terhadap sistem digital, demikian kata Ustaz Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap).

“Berkenaan serangan siber, sangat serius di Malaysia ni. Kerana kalau tengok laporan daripada sebuah firma keselamatan siber global iaitu syarikat Kapersky telah memberitahu bahawa jumlah serangan tahun lepas saja 26.85 juta persamaan 70,000 serangan sehari.

- Advertisement -

“Dan isu yang kita hadapi dalam negara ini ialah kekurangan pakar keselamatan siber. Kalau tahun lepas dimaklumkan oleh YB Menteri Komunikasi, kita hanya ada lebih kurang 15,000 pakar keselamatan siber,” ujarnya di Dewan Rakyat pagi ini semasa mengutarakan soalan tambahan dalam sesi Soal Jawab Menteri.

Beliau meminta agar Kementerian Digital menjelaskan langkah yang diambil oleh pihak kementerian untuk meningkatkan jumlah pakar keselamatan siber dan untuk mengatasi masalah serangan siber tersebut.

Nurul Amin membangkitkan perkara itu kepada soalan asal oleh Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta Menteri Digital untuk menyatakan ancaman kumpulan ROOTKIT untuk menutup rangkaian Maxis dan sama ada syarikat lain juga terlibat.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, soal berkaitan perlunya untuk kerajaan memperkukuhkan sistem itu memang menjadi keutamaan kementeriannya.

“Sekarang kita mempunyai agensi-agensi yang berkaitan sepertimana saya sebut tadi kita ada Cybescore di Malaysia dan kita juga ada NACSA (National Cyber Security Agency). Dan di dalam keadaan tertentu yang melibatkan data peribadi kita ada JPDP (Jabatan Perlindungan Data Peribadi).

“Tetapi apa yang disebut oleh Yang Berhormat tu adalah penting kita perlu pastikan bahawa tahap kepakaran yang kita ada di dalam sektor ini sentiasa pada tahap yang memuaskan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga bersedia bergerak ke depan untuk menghadapi ancaman-ancaman pada masa depan, antaranya biasiswa yang ditawarkan EC-Council sebanyak RM5 juta untuk seramai 2,000 orang bagi mempertingkatkan pakar dalam bidang itu.

Selain itu, katanya, tumpuan juga diberi kepada institusi-institusi pendidikan tinggi bagi menyediakan kursus-kursus yang bersesuaian dengan keperluan tersebut. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -