Kenyataan Fahmi, cubaan cabuli pengasingan kuasa 

Ronald Kiandee
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 44 telah memperincikan konsep pengasingan kuasa di antara Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.

Kupasan mengenai pengasingan kuasa juga terkandung dalam Perkara 39, Perkara 125 dan Perkara 127, sekali gus memperlihatkan betapa pentingnya pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi dan seharusnya ia dijunjung dan ditegakkan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Beluran, Dr Ronald Kiandee berkata, justeru, apabila kerajaan melalui Menteri Komunikasi memaklumkan pada Jumaat lalu bahawa Jemaah Menteri akan menghubungi Speaker Dewan Rakyat berkenaan prosedur di dalam Dewan, ia jelas merupakan cubaan mencabuli konsep pengasingan kuasa dengan bayangan campur tangan serius ke atas kemuliaan Legislatif.

“Siri cubaan pencabulan terbaharu ini memperlihatkan Malaysia sedang dipandu ke arah bertentangan daripada janji kerajaan. 

“Sesudah kebebasan bersuara rakyat khususnya di media-media sosial disekat, suara wakil rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen yang dijamin di bawah undang-undang pula cuba dihadkan.

“Walaupun YB Fahmi Fadzil cuba memperbetulkan semula kenyataan selepas mendapat kecaman rakyat, kerosakan sudah berlaku.

“Kerosakan ini fatal kepada imej kerajaan Madani tetapi saya tidak percaya ada tindakan akan diambil ke atas Menteri Komunikasi ini kerana beberapa siri insiden di Dewan Rakyat memberi gambaran kepada realiti sebenar,” katanya dalam kenyataan di Faecbooknya.

Dalam prosiding di Dewan Rakyat, tambah Ronald, apabila suatu kenyataan dibuat, seseorang ahli Dewan Rakyat dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat dan merupakan amalan (konvensyen) yang diterima di Parlimen selama ini, untuk membetulkan, menarik balik atau kekal teguh dengan kenyataan itu sebelum sesuatu usul tindakan dikemukakan kepada beliau. 

Menurut beliau, keputusan sama ada menerima atau tidak, suatu penarikan kenyataan dalam prosiding Dewan Rakyat adalah kuasa Speaker Dewan Rakyat di bawah Peraturan 43 yang menyatakan keputusan Yang di-Pertua berkaitan peraturan mesyuarat tidak boleh ditimbang semula (muktamad) dan tidak boleh diulang kaji oleh Dewan Rakyat kecuali jika dikeluarkan suatu usul bersendiri untuk menimbangkan keputusan tersebut

“Justeru, tindak-tanduk kerajaan ke atas badan Legislatif ini bukan sahaja mengecewakan tetapi amat-amat memalukan. Lebih-lebih lagi ketika mana Perdana Menteri menjaja laungan reformasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2024

- Advertisement -