Perlembagaan Persekutuan: Perundangan Islam wajar dijulang

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa kerajaan agar meneliti usaha untuk mengangkat perundangan Islam sebagai asas utama dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan undang-undang Islam terus terpelihara dalam negara.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, ini bagi memastikan kedudukan Islam sentiasa teguh dan tidak tergugat oleh anasir-anasir yang merosakkan.

Menurutnya, Islam harus dijunjung tinggi dan harus dinilai semula kedudukannya dalam perlembagaan selepas negara mencapai kemerdekaan sejak tahun 1957.

“Kita sememangnya berpegang kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta beberapa bahagian lain yang meletakkan keistimewaan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sumpah setia Yang Dipertuan Agung berdasarkan Jadual Keempat Bahagian I yang menyatakan ikrar untuk memelihara agama Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tam ahnya, perundangan Islam harus diletakkan di bawah peruntukan yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan sebaliknya dikecilkan peranannya sehingga seolah-olah ia tidak ada makna dalam sistem perundangan sedia ada.

Sejak merdeka, ujarnya perbahasan tentang kedudukan Mahkamah Syariah terus menjadi pendebatan sehingga melahirkan pindaan Perkara 121(1A) pada tahun 1988.

Tambah beliau lagi, undang-undang Islam masih memerlukan kepada peneguhan yang lebih jelas khususnya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan, Dewan Ulamak turut menyokong kenyataan Tuan Guru Presiden yang menggesa supaya Islam diletakkan sebagai undang-undang utama dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Islam seharusnya tertolak. Itu yang seharusnya berlaku.

“Hal ini, bagi memastikan kedudukan Islam sentiasa teguh dan tidak tergugat oleh anasir-anasir yang merosakkan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Oleh itu, kata beliau sewajarnya Islam terus dijunjung tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 10/3/2024

- Advertisement -