Pembangkang ada cara lain tangani isu pendidikan

Pemimpin PN pada sesi bergambar sempena konVensyen tersebut, semalam. (Foto HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ekosistem pendidikan turut menjadi dasar pembangunan yang perlu diberi perhatian agar setiap peringkat masyarakat mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

- Advertisement -

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun di blok pembangkang tidak diberi keizinan untuk memasuki ke lapangan atau kawasan sekolah tetapi ada cara lain untuk menangani isu pendidikan.

“Ibu bapa ada di luar sekolah dan kalau langkah-langkah tertentu dapat kita ambil untuk menangani (isu pendidikan) walaupun tak semua, saya kira itu dapat membantu dan sedikit sebanyak dan mengurangkan bebanannya.

“Saya diperingatkan pada Mac yang tidak lama lagi sesi persekolahan akan mula dibuka, dah banyak dah saya tengok TikTok keluar tentang bebanan ibu bapa, nak bayar wang persekolahan, membeli beg, pakaian, kasut dan perkara-perkara yang agak remeh.

“Tapi kalau keluarga itu mempunyai dua atau tiga anak ke sekolah yang remeh sudah tak remeh lagi, malahan jadi bebanan yang dibebankan pula dengan kos sara hidup, dibebankan pula dengan harga barang-barang yang diperlukan itu naik mendadak begitu tinggi,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN di Hotel Sunway Putra, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata perkara itu akan menjadi satu masalah kepada rakyat dan dalam masa yang sama pembangkang perlulah memainkan peranan agar mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa yang dipimpin oleh Setiausaha Agungnya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan kepada semua perwakilan yang telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

“Kita harap dengan selesai konvensyen ini semangat kita akan terus berkobar-kobar dan kita akan balik ke kawasan masing-masing untuk bekerja lebih kuat dan lebih bersemangat untuk menjayakan segala harapan dan cita-cita kita.

“Insya-Allah kalau langkah ini kita teruskan ke tiga hingga empat tahun ke hadapan, saya mempunyai harapan yang agak tinggi kita boleh mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2024

- Advertisement -