Kenyataan Nik Nazmi terhadap Presiden PAS memalukan

Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan putar belit dan falasi yang dikeluarkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap Presiden PAS sesuatu yang memalukan, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.

- Advertisement -

Ini susulan kenyataan Naib Presiden PKR itu terhadap perbahasan parlimen oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyentuh cadangan kerajaan menghapuskan pencen penjawat awam.

Menurut Afnan, kenyataan Nik Nazmi itu juga tidak wajar keluar daripada mulut pemimpin kerajaan Madani.

Beliau berkata, Nik Nazmi telah menyeleweng makna perbahasan Presiden PAS seolah-olahTuan Guru Abdul Hadi menuduh kerajaan Madani akan menghapuskan pencen penjawat awam sedia ada.

“Presiden PAS hanya menyentuh isu pencen secara umum berdasarkan sirah pemimpin Islam terdahulu yang meletakkan bayaran setimpal kepada pekerja kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memberitahu, apa yang disampaikan Presiden PAS amat sesuai dengan implikasi cadangan kerajaan Madani yang akan menyebabkan masa hadapan penjawat awam baharu yang akan dilantik tidak terjamin serta tidak setimpal dengan pengorbanan mereka.

“Inilah yang perlu difahami Nik Nazmi dan barisan kerajaan Madani,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya Nik Nazmi juga telah menuduh bahawa Presiden PAS melabelkan KWSP sebagai tidak Islamik.

Walhal, jelasnya apa yang ditekankan Tuan Guru adalah tindakan kerajaan Madani yang membuat dasar tidak adil sebagai satu perkara yang tidak mencerminkan nilai Madani yang sebenar.

Ini, ujar beliau satu perbezaan yang jelas.

“Tidak perlu bermain falasi sehingga memetik contoh yang entah tidak berkaitan dalam konteks perbahasan yang dibawakan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,” katanya.

Tambah beliau lagi, sepatutnya sebagai kerajaan, Nik Nazmi dan rakan-rakan menteri menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang telah membawa persoalan besar kepada polisi kerajaan Madani yang dilihat menimbulkan kegusaran rakyat serta tidak mengangkat kebajikan penjawat awam untuk jangka masa panjang.

“Nik Nazmi sedarkah, sejak cadangan pemansuhan pencen ini dicanangkan yang mana meresahkan jutaan rakyat, kerajaan sehingga kini masih tidak memberikan satu jawapan dan dasar yang jelas lagi tuntas berkenaan mekanisme dalam mereformasikan sistem pencen negara.

“Sampai bila mahu mengurus negara seperti mengurus parti hak milik sendiri?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Afnan turut menasihatkan Nik Nazmi dan barisan pemimpin kerajaan Madani memberikan fokus sepenuhnya kepada tugas kerajaan dan bukannya sibuk mencari publisiti dan tunjuk samseng dengan pembangkang.

“Uruslah negara dengan jiwa besar dan berjiwa negarawan bukan dengan jiwa sempit,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 10/3/2024

- Advertisement -