Pendanaan politik: Kawal pengaruh politik wang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melibatkan NGO atau organisasi masyarakat sivil yang pakar dalam perundangan untuk mengenal pasti kelompongan berkaitan dengan Akta Pendanaan Politik supaya berlaku penambahbaikan.

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, mengemukakan perkara itu untuk mengetahui usaha Kerajaan dalam mengawal pengaruh politik wang oleh parti-parti politik yang ada sekarang.

- Advertisement -

“Dan andai kata berlaku pilihan raya kecil dalam tempoh yang terdekat ini bagaimanakah kerajaan mahu membendung terimaan wang ataupun dana ataupun sumbangan daripada mana-mana pihak,” soal beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang Dan Reformasi Institusi) pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang Dan Reformasi Institusi), M.Kulasegaran V.Murugeson dalam jawapannya memberitahu, libat terus itu adalah terpulang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).

“Dan saya berpendapat, adalah berpatutan memanggil pakar-pakar perundangan dan juga NGO-NGO terlibat dalam perkara ini. Dan saya difahamkan juga ada terlibat dengan negara-negara lain dalam usaha yang sedemikian.

“Jika ada pilihan raya kecil seperti yang saya kata sebelum ini akta-akta sedia ada (diharap) mengawal selia perkara tersebut,” ujarnya.

Dr Abd Ghani dalam soalan asalnya meminta dinyatakan status penggubalan Akta Pendanaan Politik selepas ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat. HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -