Kedah bantu rakyat terima maklumat terkini, sahih

Ustaz Mohd Azam Abdul Samat
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan penyaluran maklumat bagi membantu rakyat menerima info terkini dan sahih.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, pelbagai medium yang telah dan bakal digunakan untuk memastikan info serta maklumat sampai ke peringkat bawah yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Wan Romani Wan Salim (PAS- Bukit Pinang) yang ingin penjelasan bagaimana maklumat terkini berkenaan kerajaan negeri kepada rakyat negeri ini.

“Rakyat khususnya boleh mendapatkan maklumat sama ada melalui Unit Media Kedah (UMK) atau Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA) di pelbagai medium sosial selain melalui Majlis Ketua Kampung (MKK) yang turut membantu menyampaikan info yang sahih kepada penduduk kampung.

“Dalam pada itu anak-anak kariah juga turut menerima maklumat terkini kerajaan negeri daripada imam – imam masjid di masjid seluruh Kedah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Tambah Azam, sebarang cadangan untuk mewujudkan siaran media di premis kerajaan akan dirancang dengan teliti dan mengambil kira semua kos kewangan yang bakal terlibat.

“Walau bagaimanapun untuk makluman Bukit Pinang, sebenarnya memang dah ada jabatan dan agensi kerajaan termasuk dengan pihak masjid telah mewujudkan televisyen di pejabat bagi menyebarkan maklumat.

“Tetapi siarannya khusus berkaitan jabatan itu sendiri atau berkaitan mohon sumbangan dan jadual kuliah,”jelasnya lagi menjawab cadangan Wan Romani agar diwujudkan siaran televisyen di premis-premis kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu juga berkata, pihaknya juga telah beberapa kali berbincang untuk mewujudkan kaedah menyelaraskan semua televisyen yang sedia ada di jabatan dan agensi kerajaan termasuk masjid-masjid.

Penyelarasan itu, ujarnya untuk membolehkan berita serta info berkaitan kerajaan negeri dapat diperluaskan kepada rakyat agar lebih banyak akses untuk mendapatkan maklumat.

Dalam perkembangan yang sama, katanya, pihaknya juga akan berusaha menggunakan medium penerangan swasta seperti radio Zayyan, Astro dan lain-lain untuk mempromosikan program-program anjuran kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -