Kelantan sertai ekspo di selatan Thailand

Kamarudin Md Nor
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan telah menyertai beberapa acara berupa ekspo di selatan Thailand antaranya Asean Halal Expo 2023 (AKEX 23) selama seminggu yang berlangsung di Asean Mall, Pattani Disember tahun lepas.

Penyertaan itu bertujuan untuk memperkenalkan produk usahawan Kelantan serta menarik lebih ramai pelancong negara berkenaan, terutama dari Wilayah Selatan Thailand ke negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor, berkata pada masa yang sama, kerajaan negeri juga turut bekerjasama dengan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan dan ejen pelancongan yang berdaftar bagi menawarkan pekej untuk ke selatan Thailand.

“Kebiasaanya pelancong dari Malaysia yang akan ke Thailand melalui Kelantan, terlebih dahulu akan transit di negeri ini khususnya Kota Bharu sebelum meneruskan destinasinya,” katanya.

Ketika itu, tambahnya pelancong akan berbelanja di Kota Bharu atau  Kawasan Bebas Cukai (KBC) di Pengkalan Kubor atau Rantau panjang sebelum ke negara jiran itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Bahari Mohamad Nor (Bersatu-Gual Ipoh).

Pada soalan asal, Bahari bertanya mengenai apakah usaha yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi menarik pelancong yang akan ke Thailand agar singgah ke Kelantan bagi meningkatkan ekonomi khususnya sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

Beliau seterusnya memberitahu, kerajaan Kelantan berusaha sedaya mungkin untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri ini termasuk masyarakat dari Thailand.

“Kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk menaikkan iklan pada billboard di selatan Thailand dengan memperkenalkan beberapa tempat menarik yang boleh dilawati di negeri Kelantan,” ujar beliau.

Menjawab soalan tambahan Bahari, beliau seterusnya berkata, baru-baru ini pertandingan ayam ratu telah dibuat di Kelantan yang telah menarik minat orang Thailand untuk menyertainya.

Katanya, pihaknya akan memperbanyakkan aktiviti bagi menarik pelancong luar berkunjung ke Kelantan termasuk Thailand.

“Mereka minat yang minat dengan burung-burung, akan memberi peluang Taman Tema dan Zoo Kuala Krai menjadi sebahagian tempat yang akan dilawati,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -