Inisiatif hijau jangan jadi alasan beban pengguna

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan diminta memberi penjelasan mengenai kebenaran syarikat penerbangan untuk mengenakan bayaran tambahan bagi pembelian bahan api penerbangan mampan (SAF) sekali gus mengimbangi pelepasan karbon.

- Advertisement -

Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, ia menyumbang sebanyak 2 peratus kadar pelepasan karbon dunia dan angka itu meningkat pada kadar 2.3 peratus setiap tahun yang menjadi penyumbang perubahan iklim dan kepanasan global.

Menurut beliau, peningkatan harga tiket penerbangan tidak dapat dielakkan lagi dan sekiranya kerajaan memberi ‘lampu hijau’ terhadap keputusan tersebut, ianya bakal memberi beban kepada pengguna serta menjejaskan sektor lain antaranya pelancongan.

“Kerajaan telah mengumumkan pada dasarnya bersetuju membenarkan syarikat penerbangan mengenakan bayaran tambahan bagi menampung pelepasan karbon penerbangan, alasan yang diberikan oleh syarikat untuk membeli SAF bagi mengimbangi pelepasan karbon mereka.

“Justeru saya ingin bertanya bilakah bayaran tambahan ini akan dikenakan dan berapakah kadar dicadangkan, kita tidak mahu langkah mengalihkan kos berkaitan perubahan iklim kepada pelanggan seperti syarikat mahu melepas tangan dan bebankan pengguna,” katanya.

Berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, mantan Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut membangkitkan mengenai inisiatif bagi menggalakkan rakyat menggunakan kenderaan elektrik (EV) di negara.

Beliau berkata pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang ‘zero carbon’ menjelang 2050 dengan menggariskan keperluan untuk mengorak langkah teknologi hijau, merupakan satu tindakan baik dan perlu dialu-alukan.

Bagaimanapun katanya, unjuran kerajaan dalam pembinaan stesen pengecasan dan penggunaan EV sehingga tahun 2030 dilihat masih rendah selain aduan pengguna lebuh raya yang menghubungkan antara Lembah Klang dan Pantai Timur khususnya mengalami kekurangan kemudahan itu.

“Demikian juga soal kelestarian EV tindakan ini merupakan satu tindakan yang baik dan kita mengalu-alukannya, walau apapun kalau dilihat unjuran kerajaan bagi stesen pengecasan dan penggunaan EV sehingga 2030, masih berkurangan terutama di laluan utama.

“Kita dimaklumkan setakat Ogos 2023 kita mempunyai 1,246 buah stesen pengecas dan pembinaan stesen pengecas di lebuh raya dan kita mendapat aduan daripada pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) khususnya yang sangat kurang pengecas EV sepanjang jalan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -