Jangan cuba pertikai, tolak Kontrak Sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati semua warganegara termasuk berkenaan Kontrak Sosial seperti bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. 

- Advertisement -

Salmiah Md Nor (PN-Temerloh) berkata, ianya juga terdapat peruntukan yang mengiktiraf Sultan sebagai ketua negara, selain keistimewaan kepada Bumiputera dan Tanah Rizab Melayu.

“Kontrak Sosial ini perlu diterima oleh semua bangsa dan tidak perlu dipertikaikan dan tidak diketepikan untuk memastikan rakyat hidup harmoni dan perpaduan terus teguh dan kukuh. 

“Jangan ada yang cuba mempertikaikan dan menolak Kontrak Sosial sehingga berani menyuarakan isu-isu sensitif seperti Perdana Menteri boleh terdiri daripada bukan-Melayu,” ujarnya pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Beliau menzahirkan rasa terkejut apabila Menteri Pelancongan mengumumkan bak kut teh iaitu sup tulang babi sebagai makanan warisan negara ini di mana perkara ini sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. 

Menurutnya, kerana Islam sebagai agama Persekutuan maka tidak sewajarnya bak kut teh dijadikan makanan warisan negara, sebaliknya banyak makanan lain yang boleh diterima oleh semua bangsa. 

Menyentuh isu ekonomi, kerajaan gesanya hendaklah sentiasa merasai denyut nadi rakyat dan membela nasib mereka dalam keadaan bebanan kos sara hidup yang semakin menekan dan kuasa beli kian menurun.

“Cukai berbagai, subsidi-subsidi dihapuskan, antara permasalahan yang menjadi denyut nadi rakyat. Sering kali apabila persoalan ekonomi yang lembab dibangkitkan dan merosotnya pendapatan boleh guna rakyat merudumnya.

“(Juga) nilai mata wang hampir mencapai RM4.80 berbanding US Dollar, maka pihak kerajaan akan menormalisasikan dengan mengemukakan berbagai angka indeks dan data,” kesali beliau yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia. 

Antara jawapan yang diberikan oleh kerajaan katanya, inflasi hanyalah 2.5 peratus, selain ekonomi berkembang 3.7 peratus, manakala kadar pengangguran 3.3 peratus dan sebagainya, tetapi semua itu tidak menggambarkan denyut nadi rakyat yang sebenar. 

“Hakikatnya data itu digunakan untuk berlindung di sebalik kegagalan menangani ekonomi negara dan beban hidup rakyat. Temerloh bertanya, adakah Menteri Ekonomi tetap menyokong terus kejatuhan nilai Ringgit?

“Seterusnya apakah ertinya dengan rizab antarabangsa yang dikatakan bertambah baik sedangkan rakyat menanggung beban kenaikan harga beras, ayam dan sebagainya. Apalah ertinya eksport negara yang dikatakan meningkat?

“Sekiranya rakyat dibebankan dengan cukai SST serta kenaikan tarif elektrik dan air. Apalah ertinya ekonomi negara yang dikatakan surplus jika denyut nadi sebenar rakyat masih ramai yang dalam kesusahan dan menderita hingga sampai ke tahap membunuh diri. 

“Dan pengangguran di kalangan graduan berleluasa di manakah janji Kerajaan Madani untuk menoktahkan kemiskinan tegar hujung Disember 2023. Berapa jumlah miskin tegar yang sudah dinaikkan pendapatannya dan bebas daripada kemiskinan tegar?” soalnya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -