Pesawah tidak terbela, harga beras makin naik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dalam persidangan pada sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja telah dibentangkan senario protes para petani terhadap dasar kerajaan yang sedang berlaku di beberapa negara.

- Advertisement -

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, walaupun di negara ini protes seumpama tidak dizahirkan, tetapi dasar kerajaan telah sedikit sebanyak menjejaskan pulangan pendapatan dan aktiviti pertanian.

“Contohnya, apabila kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan harga beras putih import daripada satu harga yang agak rendah kepada RM3.60 sekilogram kerana untuk menyesuaikan harga import beras yang semakin meningkat di harga pasaran antarabangsa.

“Iaitu mengakibatkan memberi kesan kepada pengeluaran beras putih tempatan negara kita. Sebab itu saya katakan dasar dan tindakan kerajaan memberi implikasi kepada petani dan juga hasilan petani negara kita. Apa yang berlaku apabila beras putih import dinaikkan harga?

“Beras putih tempatan hilang daripada pasaran. Sama ada berlaku manipulasi, itu adalah tugasan kerajaan untuk menyemak. Tetapi dasar yang dilakukan kerajaan tanpa mengira implikasi ke atas keseluruhan rantaian pengeluaran hasil pertanian,” ujarnya.

Menurut beliau, tindakan kerajaan telah mengakibatkan kesan drastik kepada pengeluaran seperti yang berlaku di mana beras import ini naik harga, tetapi beras tempatan dikekalkan harga.

Situasi tersebut juga ujarnya, menyebabkan manipulasi dan juga kehilangan beras putih tempatan di pasar yang diakibatkan kerajaan mengolah dasar yang separuh masak tanpa melihat kepada seluruh rantaian industri dan pengeluaran tempatan.

“Begitu juga apabila Pengerusi Task Force mengumumkan satu pendekatan baru tanpa mengira ataupun membelakangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” ujarnya dipercayai merujuk isu harga Beras Madani RM30 bagi 10 kilogram.

Tegas beliau, kerajaan tidak boleh menaikkan harga beras import kerana ia juga akan memberi kesan kepada harga beras tempatan dan kerajaan harus mempertimbangkan untuk mewujudkan semula Lembaga Padi-Beras Negara (LPN).

“Saya setuju dengan cadangan bahawa industri padi beras negara perlu diperkasakan. Kita masih jauh daripada mampu untuk mengeksport beras. Sebenarnya negara kita hanya mempunyai keluasan sebanyak 700,000 hektar padi. 

“Kalau dibanding dengan Thailand 100 juta hektar dibanding dengan Vietnam 7 juta hektar. Indonesia 10.5 juta hektar kawasan keluasan tanaman padi,” ujar bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu.

Tegasnya, Malaysia masih jauh dari memenuhi keperluan beras sendiri, apatah lagi berangan-angan untuk menjual beras di pasaran antarabangsa dengan kapasiti yang sedang sedia ada. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -