Ada sesuatu yang tak kena dengan kerajaan 

Ahmad Fadhli dalam sidang media selepas hadir untuk menerima memorandum peserta himpunan #Reformasi100Peratus anjuran Bersih di hadapan bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur pada hari ini, 27 Feb 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa protes yang dilakukan Bersih pada hari ini seperti ada yang tidak kena dengan pihak kerajaan.

Menurutnya, umum mengetahui Bersih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin kerajaan, baik dari sudut peribadi dan sokongan yang ketika itu kerajaan pernah di blok pembangkang.

- Advertisement -

“Apabila Bersih terpaksa buat seperti ini untuk memberitahu kepada kerajaan tuntutan ini, sudah tentu di sana ada sesuatu yang tidak kena dalam pelaksanaan reformasi oleh pihak kerajaan yang ada pada hari ini,

“Saya yakin sepatutnya Bersih tidak hanya berhenti setakat ini sahaja tetapi akan ada lagi gerakan-gerakan selepas ini untuk memastikan kerajaan benar-benar melaksanakan janji-janji reformasi (mereka),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima memorandum peserta himpunan #Reformasi100Peratus anjuran Bersih di hadapan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Difahamkan, Fadhli merupakan satu-satunya wakil rakyat dari blok pembangkang yang keluar menerima memorandum peserta himpunan berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, tuntutan Bersih pada hari ini tersebut, juga telah membuktikan tanggapan pembangkang terhadap kerajaan selama ini adalah tepat.

“Kami (pembangkang) telah beritahu lama sebelum ini bahawa kerajaan merupakan kerajaan yang sembang kosong saja yang hanya sekadar menyebut untuk melaksanakan reformasi.

“Namun, apabila mereka bekerjasama dengan kleptokrat yang mereka dakwa sebagai kaki rasuah sebelum ini, akan ada nilai-nilai yang terpaksa mereka gadai,” tegasnya.

Beliau berkata lagi bahawa tuntutan daripada Bersih ini merupakan tuntutan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan.

“Pihak kami  akan meneliti satu per satu tuntutan yang dikemukakan Bersih dan akan membawanya kepada peringkat tertinggi PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk dipertimbangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -