‘Kerajaan hari ini langgar semua perkara’ – Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) akan berbahas menyokong usul menjunjung kasih Titah Ucapan Diraja dengan merangkumkan hal-hal kehidupan rakyat yang perlu untuk diletakkan di hadapan. 

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, apatah lagi kini kerajaan berada dalam situasi melanggar sendiri segala diucapkan sebelum daripada ini, kononnya merekalah juara yang terpaling demokrasi, terbersih dan tersuci.

Ketua Penerangan PAS itu juga membidas kerajaan kini yang hanya mengemukakan usul-usul bersifat politik, berbanding PN membawa banyak usul penting biarpun ada ditolak untuk dibahaskan di Dewan mulia tersebut.

Beliau membangkitkan mengenai pelanggaran janji-janji manifesto, serta pelbagai formula dan reformasi, tetapi kini terjadi adalah asyik menyalahkan pelbagai faktor yang sebenarnya menunjukkan kerajaan ini tidak tahu mentadbir.

“Mereka inilah raja segala formula, tapi apabila menjadi kerajaan, formula mereka tak dapat pun nak dilaksanakan. Tetapi mereka menjual janji-janji, balik jual kata-kata seolah-olah nak salahkan orang lain. 

“Jadi apa yang saya nak fokuskan ialah terus kepada isu-isu rakyat yang ada pada hari ini. Iaitu kerajaan hari ni kerajaan yang tak kompeten. Apa yang mereka laksanakan sangat-sangat sekadar untuk membina persepsi,” ujarnya dalam podcast ‘YB Apa Cerrr…’, hari ini.

Ahmad Fadhli juga mempertikaikan pengumuman-pengumuman mengenai pelaburan melibatkan pelbagai angka yang dikatakan tinggi, tetapi data sebenar menunjukkan sebaliknya iaitu mengalami kejatuhan atau menjunam.

Beliau turut mempersoalkan ketelusan kerajaan apabila di sebalik tuduhan atau dakwaan ‘sakau’ dan kes-kes yang mahu disiasat hingga ke alar umbi, tetapi menjadi sebaliknya apabila tertuduh dibebaskan. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

- Advertisement -