Dakwaan Umno Perlis untuk cari publisiti

Haziq Asyraf Dun
- Advertisement -

KANGAR: Pembangkang di Perlis disaran berperanan sebagai penyemak imbang kerajaan negeri terutama isu-isu berkaitan rakyat.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, spekulasi yang dibuat oleh pemimpin Umno kononnya wakil rakyat negeri ini hilang ketika rakyat memerlukan khidmat sebaiknya hendaklah dihentikan.

“Saya alu-alukan kehadiran Umno Perlis untuk terus ke depan sebagai penyemak imbang berkaitan isu rakyat dan negeri, untuk kami ambil cakna dan terus beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Perkara itu adalah lebih baik daripada membuat dakwaan kononnya pemimpin kerajaan negeri hilang apabila rakyat memerlukan,” katanya susulan spekulasi yang ditimbulkan oleh Timbalan Pengerusi Umno negeri mengenai perkara itu.

Malah ujar Haziq, pendekatan tenang dan sederhana Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dirasai setiap golongan masyarakat.

Katanya lagi, di mana sahaja Menteri Besar pergi, kehadirannya dirasai oleh segenap rakyat termasuk penjawat awam dan pelabur.

“Kini penjawat awam dan pelabur serta masyarakat hampir semuanya merasai kerajaan terutama Menteri Besar dekat dengan mereka dan bukan hanya sekadar bermain di peringkat atas untuk tambah kekayaan peribadi dan kroni,” ujarnya.

Justeru, beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS negeri menganggap dakwaan itu seolah-olah mencari publisiti berikutan Umno Perlis kini sudah dilihat sepi selepas mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum (PRU) lalu. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

- Advertisement -