Peniaga belut maut gerai dirempuh kereta

Rohaya menunjukkan foto suaminya dalam telefon bimbit.
- Advertisement -

PASIR MAS: Seorang peniaga belut maut apabila gerai perniagaanya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam kejadian di Kampung Padang Licin Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, sekitar jam 5 petang tadi.

- Advertisement -

Isterinya, Rohaya Abdullah, 45, berkata, beliau mengetahui tentang kejadian itu sebaik sahaja didatangi oleh kakak ipar dan memaklumkan  kejadian kemalangan yang telah menimpa suaminya.

“Selepas sahaja saya diberitahu bahawa suami saya dilanggar saya terus bergegas ke tempat kejadian dan sebaik sahaja sampai suami saya sudah pun dibawa ke hospital.

“Perasaan saya ketika itu hanya mampu menjerit kesedihan sambil memangku anak kecil saya yang berusia tiga tahun, lalu saya terus dibawa oleh kakak ipar ke hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Lati, Pasir Mas, di sini, malam ini.

Sementara itu, Rohaya turut menceritakan bahawa beliau sendiri telah bertemu dengan suaminya buat kali terakhir pada jam 1 petang tadi sebelum arwah turun dari rumah untuk menjalankan perniagaanya itu.

Katanya, arwah juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebelum ‘pergi’ meninggalkannya dan tiga anak berusia 3 hingga 10 tahun.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan arwah suaminya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Sangkut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes terbabit.

Menurutnya, siasatan berkaitan punca kemalangan sedang dijalankan. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

- Advertisement -