KANGAR: Pengusaha harumanis digalakkan menanam secara berkelompok bagi meningkatkan hasil pengeluaran harumanis.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, langkah itu membolehkan mereka berkongsi sumber dan pengetahuan, memperkuat hubungan antara pengusaha, serta meningkatkan akses kepada sokongan teknikal dari agensi pertanian.
“Kita galakkan pengusaha tanam secara berkelompok, bagi memudahkan mereka mendapatkan khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian.
“Mereka juga dapat mencapai hasil dengan skala yang lebih besar dan meningkatkan kemampuan untuk membeli input pertanian dengan harga yang lebih rendah,” katanya pada sidang media selepas lawatan di Projek Kelompok Mangga Harumanis Bohor Janggus, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman.
Menurut Razali, setakat ini hampir 70 peratus pokok harumanis sudah mengeluarkan bunga sementara 30 peratus lagi sedang berpucuk.
Tambah beliau, pokok harumanis mula mengeluarkan bunga pada awal Disember tahun lalu selepas aktiviti aruhan yang dilakukan pada 23 Oktober hingga 5 November lepas.
Beliau tidak menolak kemungkinan baki 30 peratus yang masih sedang berpucuk disebabkan tarikh aruhan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian tidak dipatuhi penanam.
Namun dalam masa yang sama, ujarnya lagi, mungkin juga atas sebab lain seperti faktor persekitaran.
“Buah akan mula dituai seawal minggu ketiga bulan Mac dan dijangka pengeluarannya pada musim ini sebanyak 2,075 metrik berdasarkan potensi hasil dan keluasan berbunga berbanding 1,243 metrik tan pada tahun lepas.
“Lebih menarik, hasil pada tahun ini lebih panjang iaitu sehingga Julai,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2024.