Takiyuddin sangkal perselisihan PAS, Bersatu

Zamakshari menyampaikan angpau dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu, Kelantan pada 23 Feb 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/ Rizal Tahir)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyangkal tomahan pihak tertentu yang mendakwa telah timbul perselisihan antara parti itu dengan Bersatu sehingga pertemuan dibuat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengesahkan pertemuan berkenaan sememangnya berlaku, bagaimanapun ia hanyalah pertemuan biasa terutama sebelum bermesyuarat.

- Advertisement -

Menurut Takiyuddin yang juga Anggota Parlimen Kota Bharu, pertemuan seperti itu juga sentiasa berlaku sama ada di luar atau dalam mesyuarat.

“Pertemuan sebegini juga turut diadakan sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang turut dihadiri Gerakan selaku rakan kongsi PERIKATAN NASIONAL (PN),” jelasnya.

Tambahnya, pemimpin PAS, Bersatu dan Gerakan akan mengadakan pertemuan terlebih dahulu sebelum bermesyuarat, kerana ada perkara yang perlu dibincangkan bersama sebelum dibawa ke mesyuarat.

Beliau dalam pada itu  tidak menolak ada pihak tertentu sengaja mereka cerita masalah telah berlaku antara PAS dan Bersatu hingga kekusutan tidak boleh diselesaikan lagi.

“Saya boleh sahkan tiada masalah berlaku antara pemimpin, malah ahli juga saling bekerjasama untuk mengukuhkan parti masing-masing dan PN,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kelantan 2024, malam tadi.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhsari Muhammad menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah, cabutan bertuah dan angpau kepada warga emas dan kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -