Penduduk Gombak rayu Sultan, Perdana Menteri, Menteri Besar

Mohd Zai (tengah) dalam sidang media di Tapak Sejarah Wali 7 Kampung Sungai ChinChin, Batu 7, Gombak, Selangor pada hari ini, 23 Feb 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

GOMBAK: Penduduk di seluruh Gombak ini merayu kepada pemimpin negara khususnya Menteri Besar Selangor juga kepada Perdana Menteri dan Sultan Selangor yang sangat prihatin soal kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Mohd Zai Mustafa berkata demikian dalam sidang media Selamatkan Tanah Warisan Melayu Islam Gombak Utara Daripada Jajaran ECRL di Tapak Sejarah Wali 7, Kampung Sungai ChinChin, Batu 7, di sini semalam. 

- Advertisement -

“Datanglah ke kampung ini, bertemulah dengan kami. Kami nak berikan cerita tentang apa sebenarnya berlaku di kampung ini. 

“Apa yang kita dapati bahawa tindakan-tindakan pihak-pihak yang merobohkan rumah dan mengambil alih kawasan ini adalah secara wewenangnya dengan memberikan notis-notis yang terakhir, peringkat akhir yang begitu cepat dan segera,” katanya.

Menurut beliau, pihak ECRL tidak memaklumkan secara rasmi dua tahun yang lepas lokasi laluan projek itu  secara tepat. 

“Sebab kita boleh runding di mana yang boleh, yang boleh adjust, yang boleh skip, yang boleh kita cari laluan yang sesuai. 

“Kita sepakat pada dua minggu lepas, 13 wakil-wakil penduduk ini bahawa kita nak jajaran ECRL ini mestilah dialihkan daripada kawasan ini. Kerana ia melibatkan lebih ribuan rumah dan ribuan rakyat yang terlibat di jajaran ini. 

“Kampung ini dulu adalah kampung yang dicadangkan kepada UNESCO kerana ia yang menjadi aset tapak UNESCO lebih 134 tahun, tetapi kita dengar akhir-akhir ini kampung yang baru berusia  60 hingga 70 tahun nak dicadang ke UNESCO kenapa?” soal beliau.

Mohd Zai berkata, diharapkan pemimpin-pemimpin Melayu yang ada sekarang ini sedar apa yang sedang berlaku.

“Selamatkan orang Melayu yang ada di Gombak ini dan kita bertegas bahawa sekiranya pihak-pihak yang berkepentingan di dalam projek ini tidak memberikan kepuasan hati kepada penduduk, kita dah bincang dengan peguam-peguam kita.

“Ribuan rakyat dan juga ratusan NGO dan wakil-wakil penduduk akan membuat injunksi mahkamah,” tegasnya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Penyelidik Sejarah dan Penulis Ahli Arkeologi (IAAM), Zaharah Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Gombak, Mohamed Yusof Sulaiman, Biro Guaman Jawatankuasa Bertindak Gombak, Zolazrai Zolkapli, wakil ADUN Gombak (Muhammad Hilman Idham) dan ramai lagi.

Tambah Mohd Zai, beliau dia juga akan melibatkan isu tersebut ke seluruh Selangor kerana ia juga berlaku di Taman Sungai Sireh Klang, lokasi di mana 91 rumah penduduk telah diranapkan kerana terletak jajaran ECRL.

“Kita faham ECRL program impak ekonomi yang tinggi kepada negara. Yang memberi pembangunan kepada negara tetapi projek yang berimpak tinggi ini telah menyebabkan orang Melayu hilang rumah, hilang tanah, hilang tempat. Ke mana  ribuan penduduk  ini nak pergi? 

“Saya nak bagi tahu di Kampung Sungai Sireh mereka hanya boleh dapat pampasan sekitar RM300,000  hingga RM400,000. Di Selangor tidak ada lagi rumah yang sama yang mereka duduk sekarang harga RM400,000. 

“Mereka kena pindah keluar daripada Selangor. Baru boleh beli rumah yang sama dan serupa dengan nilai rumah mereka sekarang. 

“Takkanlah ribuan penduduk yang tinggal di Gombak ini pun kena keluar dar Selangor? Saya rasa Sultan Selangor pun tidak akan setuju,” luahnya.

Beliau turut menyatakan, terdapat satu jaminan daripada dokumen-dokumen yang ada di kawasan ini ada di Arkib Negara bahawa tanah ini dijamin oleh Sultan Selangor yang dahulunya tanah ini dikecualikan daripada membayar cukai. 

“Maknanya apa? Tanah diiktiraf oleh Sultan Selangor sebagai suatu tapak warisan orang Melayu, pendidikan Islam sebab itu Sultan Selangor telah mengiktiraf tapak ini tanpa bayar cukai,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -