PETA desak PMX bertindak ke atas Menteri Pelancongan

Tangkap layar hantaran Chegubard di Facebook miliknya berhubung isu tular mengenai Menteri Pelancongan, Tiong King Sing.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembela Tanah Air (PETA) mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX)) agar bertindak tegas terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing yang didakwa telah melakukan salah guna kuasa.

Sekretariat PETA, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berkata tular dalam media sosial mengenai surat penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Dato’ Dr Ammar Abd Ghapar yang berkuatkuasa Isnin (26 Feb) ini.

- Advertisement -

Menurutnya, maklumat dari Tourism Malaysia menyatakan King Sing dikatakan mahu menaikkan seorang pegawai bangsa Chindian sebagai Ketua Pengarah yang baharu.

“Sikap Anwar dan pihak kerajaan yang tidak peduli dan takut menyebabkan King Sing rasa ‘dilindungi’ sehinggakan Ammar yang berdedikasi dalam menjalankan tugas dan komited untuk meningkatkan pelancongan negara boleh dipecat begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz juga wajib respons terhadap perkara ini dan tidak boleh membisu. 

“Kalian harus menjadi pelindung pegawai perkhidmatan awam, bukan ibarat lembu dicucuk hidung oleh orang politik yang dilihat makin hilang hormat dan menindas penjawat awam hari ini,” katanya.

Menurutnya, rejim kerajaan campuran ibarat membalas dendam terhadap orang Melayu yang jelas menolak dalam dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Penjawat awam yang tegas dan berintegriti menjadi mangsa, digugur dan ditukar sesuka hati. 

“Malah tindakan memansuhkan skim pencen dilihat satu balas dendam ke atas penjawat awam yang kebanyakannya orang Melayu,” dakwanya.

Justeru, PETA akan membuat satu memorandum khas bagi mengasak Ahli Parlimen dalam sidang akan datang untuk melihat betapa serius penindasan terhadap penjawat awam oleh kerana gangguan ahli politik. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -