Keputusan kes Nik Elin cabaran getir enakmen syariah 

Mardhiyyah Johari
- Advertisement -

ALOR SETAR: Keputusan Ketua Hakim Negara membenarkan petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, dijangka akan memberi cabaran getir besar-besaran terhadap enakmen jenayah syariah di negeri-negeri lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari, berkata, hal itu sebagaimana kes Indira Ghandi yang telah membawa kepada Saman Pemula difailkan  memohon deklarasi kononnya enakmen negeri tidak sah kerana didakwa melanggar perlembagaan.

- Advertisement -

“Semestinya saya antara yang kecewa dengan keputusan kes Nik Elin ini, yang menyaksikan 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 diputuskan terbatal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan.

“Kesannya, 16 kesalahan di dalam Enakmen itu tidak lagi boleh diambil tindakan oleh penguatkuasa agama,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini. 

Beliau yang sebelum ini merupakan peguam sivil dan syarie di sebuah firma guaman persendirian  menegaskan, dengan keputusan mahkamah itu mengakibatkan mana-mana kesalahan yang melibatkan 16 seksyen tersebut jika didapati dilakukan oleh mana-mana individu, tidak lagi boleh ditahan, disiasat apatah lagi didakwa oleh penguatkuasa agama.

Dalam pada itu ujarnya, prosiding undang-undang secara keseluruhan, rujukan para peguam dan hakim serta pertimbangan hukuman adalah tidak sama sekiranya ada pihak mengatakan kes itu boleh didakwa di Mahkamah Sivil.

Sedangkan katanya, pertimbangan hukuman tidaklah akan sama apabila dilaksana oleh pemegang taruh institusi perundangan Islam dengan institusi perundangan sivil.

“Sebagai negara yang mengamalkan federalisme seharusnya mempunyai satu batas penghormatan terhadap kuasa federal dan kuasa negeri dalam menggubal undang-undang. 

“Jika Dewan Undangan Negeri (DUN) kini dipertikaikan kompetensinya dalam menggubal 16 kesalahan, maka pada pandangan saya bidang kuasa negeri yang sudah sedia terhad semakin dihadkan lagi, terhakis dan hilang wibawa,” hujah Mardhiyyah. 

Justeru, beliau menyeru kepada semua pihak yang merasa kalah dan kecewa dengan keputusan ini agar tidak berputus asa.

Sebaliknya tegas beliau, perlu meletakkan cita-cita yang lebih tinggi iaitu ke arah meminda perlembagaan bagi mengembalikan kemuliaan dan wibawa negeri dalam menggubal Undang-Undang Syariah.

Mahkamah Persekutuan Persekutuan, semalam telah mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Antara peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (seksyen 16).

Sementara memetik laporan dari media tempatan di sini, mantan Presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir mendakwa, keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak menggugat kedudukan mahupun bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sebaliknya kata beliau, ia hanya berpaksikan terjemahan mengikut konteks Perlembagaan Persekutuan dan sekadar menyentuh keabsahan penggubalan proviso-proviso Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.  HARAKAHDAILY  10/2/2024

- Advertisement -