Kedah belanja RM7 juta atasi masalah bekalan air 

Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) daripada jadual asal bukan berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri Kedah mahupun kelemahan syarikat yang dipertanggungjawabkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebaliknya apa yang berlaku ialah kos pembinaan LRA meningkat hingga ke 70 peratus selepas tender diluluskan.  

- Advertisement -

“LRA perlu disiapkan  mengikut spesifikasi ditetapkan dengan harga yang dipertimbangkan semula akibat peningkatan kos bahan binaan terbabit.

“Kontraktor terpaksa memohon Variation of Prices (VOP) untuk menilai semula beberapa perkara dalam pembinaan khususnya harga besi yang meningkat sebanyak 70 peratus.

“Sebagai ketua negeri saya tanggungjawab menjaga negeri ini dan memberi penjelasan terhadap isu ini,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurut beliau, semua pihak juga mengetahui  dan sedia maklum, kontraktor yang diberi tender selepas dibuka pada 2020 telah dipilih melalui proses yang dikehendaki oleh kaedah perolehan.

Oleh itu Sanusi berharap agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula berkenaan kenaikan harga bahan binaan di seluruh negara dan tidak mengambil tempoh yang lama untuk meluluskan VOP.

Berhubung masalah bekalan air pada musim kemarau ini, katanya, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM7 juta untuk penghantaran air menggunakan lori ke tempat berisiko. 

“Saya ucapkan terima kasih kepada kakitangan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang bekerja siang malam menghantar air ke lokasi terlibat, termasuklah kontraktor yang dilantik bagi penghantaran air menggunakan lori,” kata beliau.

Sungguhpun begitu, tegas Sanusi, masalah bekalan air pada usim kemarau ini bukan hanya melibatkan Kedah sebaliknya seluruh negara.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -