Kg Baru Cina tapak UNESCO, cadangan menteri bankrap idea

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak UNESCO sebagai satu cadangan menteri yang bankrap idea.

- Advertisement -

Beliau menyatakan cadangan tersebut yang dikemukakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming adalah sesuatu yang tidak perlu kerana hanya hanya akan mencetuskan polemik perpecahan antara kaum.

Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas, seharusnya Menteri KPKT yang mewakili rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu sedar bahawa terdapat lagi beberapa kawasan yang boleh dijadikan sebagai tapak UNESCO.

Kata beliau, kampung baru cina hanya wujud kurang dari 100 tahun jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain yang ada dalam negara ini.

“Adakah ini satu usaha untuk mengiktiraf bukan bumiputera sebagai bumiputera secara beransur-ansur?” katanya.

Beliau menyatakan sekiranya Menteri KPKT melakukan sedemikian maka tindakan tersebut bukan sekadar diibaratkan bermain dengan api tetapi juga meningkatkan lagi sifat perkauman yang ada dalam negara ini.

Tambah beliau, menteri sebegini tidak seharusnya dikekalkan dalam negara ini yang sememangnya mempunyai berbilang bangsa dan agama.

“Kerajaan wajib memecat menteri seperti ini kerana keharmonian negara ini akan terus terganggu selagi menteri sebegini dikekalkan kecuali memang inilah cadangan yang mewakili kerajaan keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau menggesa rakyat supaya tidak memandang remah mengenai isu ini kerana pembelaan rakyat bumiputera juga merupakan tanggungjawab kerajaan pada masa ini.

“Jika kerajaan sekarang ini masih tidak melakukan sedemikian maka rakyat patut berusaha menggantikan kerajaan yang tidak boleh lagi diletakkan harapan untuk membela Bumiputera ini,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -