Hannah Yeoh tak perlu terkejut – Hishamuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada perkara yang perlu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terkejut berkenaan Terengganu memohon geran walaupun dikatakan memiliki antara padang yang terbaik di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, walaupun disebut begitu, masih terdapat kelemahan, dan kualiti serta proses penjagaan padang perlu ditingkatkan untuk kekal bertahan dalam tempoh yang lama.

Menurut Hishamuddin, beliau telah mengambil peluang bertanya soalan dalam sidang Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 di Sunway Big Box Hotel, Iskandar Puteri pada 9 Jan lalu, berkisar mengenai padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak perlu untuk ditukar dengan rumput Zeon Zoysia.

- Advertisement -

“Rumput Princess Bermuda 77 yang ada sekarang ini sudah cukup memadai untuk dikekalkan dan ia juga sumbangan daripada pihak Malaysian Football League (MFL) dan Tunku Mahkota Johor.

“Walaupun begitu, jika geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini boleh dimanfaatkan untuk kami menaiktaraf padang ini, ia satu peluang yang cukup baik untuk objektif yang sama,” tambah beliau melalui media sosial miliknya di sini, hari ini.

Katanya, dalam mesyuarat tersebut memaklumkan cuba dipohon dahulu geran berkenaan atas semangat objektif yang sama, dan permohonan tersebut adalah benar dan tidak babit perkara lain selain sistem saliran padang dan naik taraf rumput sedia ada.

“Soal amaun, terpulang pada pandangan pihak kementerian. Usaha kami lakukan terlebih dahulu untuk memohon. Melihat objektif dan matlamat yang telah dinyatakan secara jelas.

“Sewaktu proses baik pulih padang stadium ini dilaksanakan pada tahun 2018-2019, ia tidak melibatkan sistem saliran secara sepenuhnya. Ia masih mengekalkan sistem saliran yang lama.

“Oleh kerana itu, walaupun padang ini antara yang terbaik, ia masih lagi berdepan dengan beberapa kelemahan yang perlu diatasi secara konsisten,” ujar beliau.

Tawaran geran KBS ini menurut beliau, disambut baik kerana objektif utama adalah untuk melihat perjalanan Liga Malaysia lebih berkualiti dan lebih kompetitif.

Tambahnya, pihak MFL juga bersetuju, antara penyumbang dalam membangunkan bola sepak negara adalah faktor padang bola sepak.

“Komitmen kami untuk memastikan penjagaan padang ini sentiasa diberikan perhatian, satu kawasan nursery dan pembenihan rumput Bermuda Princess 77 akan diwujudkan bersebelahan stadium untuk dijadikan sebagai gantian rumput rosak dalam kawasan padang.

“Ini semua komitmen kami untuk melihat padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin terus menjadi lokasi yang memuaskan buat setiap perlawanan bola sepak Liga Malaysia,” kata beliau.

Beliau percaya pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di bawah pimpinan Hannah Yeoh juga amat menyokong usaha bersama ini demi melihat agenda pembangunan bola sepak negara terus diperkasakan.

“Semoga hasrat ini menjadi kenyataan buat bola sepak Malaysia. Terima kasih YB Menteri, KBS dan MFL,” katanya.– HARAKAHDAILY  8/2/2024

- Advertisement -