Perutusan Khas Tahun Baru Cina

- Advertisement -

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

- Advertisement -

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru kepada semua kaum Cina di Malaysia.

Semua kita mahukan negara Malaysia yang sejahtera, di mana masyarakat hidup harmoni, aman dan saksama. Kepelbagaian kaum dan bangsa diraikan sebagai tanda kebesaran Allah dan merupakan fitrah kejadian manusia.

Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS telah memberi jaminan keadilan, keamanan dan kesejahteraan hidup untuk semua kaum dan agama di negara ini. PAS berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya.

PAS melalui pemerintahan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah berjaya membuktikan bahawa kebebasan beragama kepada penganut agama lain tidak dihalang, rumah-rumah ibadat tidak dirobohkan dan kegiatan ekonomi tidak disekat, sehingga orang bukan Islam hidup aman dan sejahtera di bawah pentadbiran PAS dengan diberikan hak kebebasan beragama dan bermasyarakat.

Dalam hidup bermasyarakat majmuk ini, kita juga hendaklah saling mengenali budaya antara satu sama lain, saling kunjung mengunjungi dan saling hormat menghormati, supaya kita terus hidup dengan suasana yang penuh harmoni dan gembira. Saya sendiri terus belajar tentang budaya dan amalan kaum-kaum lain di Malaysia.

Justeru itu, harapan saya sempena perayaan Tahun Baru Cina ini agar perpaduan kaum di Malaysia terus dieratkan dan diperkukuhkan. Bagi mereka yang pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan ini dengan keluarga, saya doakan semoga perjalanan anda selamat. 新年快乐,万事如意!

“Adil, Prihatin Dan Berkebajikan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -