Unit Amal Walad perlu diaktifkan semula

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat sekali lagi mencadangkan supaya Jabatan Amal Malaysia di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia menubuhkan Unit Amal Walad.

- Advertisement -

Pengerusinya, Datuk Idris Ahmad berkata Unit Amal Walad ditubuhkan pada tahun 1980-an ketika Jabatan Amal Malaysia masih dikenali Unit Amal.

Beliau berkata selain Unit Amal Walad turut ditubuhkan ketika itu unit seperti fatayat, nisa dan banat bagi memberi pendedahan kepada perjuangan PAS seawal usia tujuh tahun.

“Kekuatan tarbiah mesti kekalkan momentum ini kita pastikan supaya dia bergerak ke akar umbi, saya pun mencadang balik supaya amal walad ini, amal budak ini ditubuhkan.

“Dahulu zaman kita budak-budak, waktu Unit Amal waktu pakai baju yang warna koko baju macam polis Pakistan tu, waktu itu kita tengok ada unit ini dalam Unit Amal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Tarbiyah PAS Kelantan 2024 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, pendidikan dan pendedahan terhadap tarbiah dan dakwah PAS pada usia itu lebih mudah berbanding ketika usia remaja.

Di samping aktiviti kawad dan perkhemahan katanya, kanak-kanak turut diberi pendedahan program seperti usrah, liqa fikri, ijtimak tarbawi dan sebagainya.

“Kita ajak dalam program amal bila besar esok senang join Jabatan Amal, amal walad ini perlu diaktifkan untuk anak muda kita yang sesuai dengan citarasa yang ada pada mereka.

“Ini yang perlu kita suburkan dalam PAS kerana kita memikirkan masa depan perjuangan kita ini kerana kita akan meninggalkan perjuangan ini kepada anak-anak kita.

“Kita tidak mahu pada zaman kita, kita hebat, kawasan kita, kita hebat, cawangan kita, kita hebat, tiba-tiba di zaman anak-anak kita, kita tinggalkan dalam keadaan lemah,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -