Gelombang rakyat perlu disulami dengan tarbiah

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) akan berusaha untuk menarik seramai mungkin sokongan orang Melayu selepas Umno yang menjadi sebahagian pendukung kepada kerajaan Madani dipimpin Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, sebelum tibanya Pilihan Raya Umum Ke 16 (PRU16) dalam tempoh empat tahun lagi, semua jentera PAS diminta memperkasakan aktiviti berbentuk tarbiah untuk berhadapan situasi tersebut.

Beliau berkata, hanya ahli PAS yang mendapat tarbiah parti mampu menggalas tugasan bagi mengekalkan kemenangan PAS bukan sahaja di Kelantan, malah Terengganu, Kedah dan Perlis selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu.

“Kita nak pastikan saki baki penyokong Umno ini mari menyokong PAS atau PN, yang nak buat kerja ini siapa dia, dia ialah orang yang dididik, ditarbiah, orang yang tidak ada tarbiah tidak ada buat kerja ini, dia setakat dia sahaja.

“Untuk PRU16 nanti kita siap sedia dah, kita bukan sahaja berpuas hati dengan apa yang ada, tetapi kita rasa ini satu hambatan, satu cabaran untuk mengekalkan kemenangan di negeri kita ini pada pilihan raya akan datang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena penganjuran Konvensyen Tarbiyah PAS Negeri Kelantan 2024 yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa di sini malam tadi.

Hadir sama Pesurujaya PAS negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Timbalan Pesuruhjaya 1 Dato’ Mohd Amar Abdullah, Dato’ Dr Johari Mat (Timbalan Pesuruhjaya 2) dan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan (Timbalan Pesuruhjaya 3).

Idris yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat berkata sokongan atau gelombang rakyat kepada PAS dan PN merupakan sesuatu yang merbahaya sekiranya tidak disulami dengan nilai-nilai tarbiah.

Beliau berkata, ahli PAS termasuk PN perlu diberikan kesedaran atau tarbiah agar mereka benar-benar memahami agenda dan perancangan yang dirangka parti dan menangani gejala wakil rakyat yang tidak sehaluan dengan hasrat parti.

Menurutnya pada PRU15 lalu menyaksikan gelombang rakyat kepada PAS dan PN meningkat dan jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat juga meningkat, namun masih ada wakil rakyat PN menyatakan sokongan kepada kerajaan. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -