‘Syoknya Matematik’ inisiatif tingkat minat pelajar

- Advertisement -

MASJID TANAH: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Harun Ar-Rasyid mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Syoknya Matematik’ sebagai usaha meningkatkan minat pelajar terhadap matapelajaran tersebut

- Advertisement -

Menurut guru besarnya, Mohd Taufik Jamil, ia juga bagi meningkatkan kesedaran kepada mereka bahawa Matematik adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian.

“Dan apabila mereka sudah suka Matematik ini, mereka akan lebih berusaha untuk menerima teknik-teknik yang baharu dan sukatan-sukatan yang baharu.

“Contohnya bila mereka naik dari darjah satu ke darjah dua, dari tahap satu ke tahap dua dan sebagainya,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di dalam program tersebut.

Katanya, program ‘Syoknya Matematik’ itu dipilih atas beberapa faktor, antaranya ialah kerana penceramah program itu yang terbukti menguasai kemahiran berkomunikasi dengan pelajar sekolah rendah.

Selain itu, jelas beliau, teknik Matematik yang digunakan dalam program itu seperti ‘Teknik Jari Magik’, ‘Sifir Cepat’ dan beberapa teknik lain dapat memudahkan pelajar dalam menguasai subjek itu.

Tambah Taufik, program seperti itu sangat penting untuk murid-murid berdasarkan peredaran masa yang memerlukan mereka menggunakan Matematik untuk pemikiran aras tinggi dalam menjawab soalan peperiksaan.

Seramai 40 orang murid-murid dari SRITI itu menyertai program setengah hari itu yang berlangsung di Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah, Jalan Hujan Panas, di sini, hari ini.

Sementara itu, Guru subjek Matematik SRITI Harun Ar-Rasyid, Annur Farhana Zainal, 25, berkata program itu penting dalam meningkatkan kemahiran murid dalam bidang Matematik terutama berkaitan sifir.

Selain itu, katanya, ia juga dapat meningkatkan kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan Matematik dalam kehidupan seharian.

“Saya harap semoga murid-murid ini dapat memahami teknik yang diajar dan selepas ini mereka lebih bersemangat untuk belajar Matematik, minat Matematik.

“Tahu cara untuk menggunakan sifir dan seterusnya dapat meningkatkan lagi keputusan dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -