Pelajar PASTI jadi duta perpaduan

- Advertisement -

ARAU: Menjelang Sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kawasan menyantuni kaum itu sekitar Taman Pauh Indah, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Pengerusi PASTI kawasan, Abdul Hadi Halipah berkata, program itu sudah menjadi rutin sejak dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, hari ini kita berjaya adakan edaran cenderahati berupa buah limau dan kuih sepit kepada kaum Cina yang bakal menyambut perayaan Tahun Baru tidak lama lagi.

“Menerusi program sebegini kita dapat mengeratkan lagi perpaduan sesama kaum selain dari menunjukkan akhlak bagaimana menyantuni jiran bukan Islam kepada anak-anak PASTI,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebanyak 20 buah rumah dikunjungi oleh 15 pelajar 6 tahun dari PASTI Al Furqan yang diketuai oleh ketua guru kawasan, Teh Embun Kamis.

Dalam ucapan ringkasnya, Teh berkata program itu merupakan inisiatif penting dalam memperkukuhkan lagi hubungan harmoni antara pelbagai kaum di kawasan tersebut.

Beliau juga berharap agar semangat perpaduan itu terus dijaga dan diperkukuhkan dalam masyarakat.

“Program ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja belajar di bilik darjah tetapi juga menjadi duta perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -