Himpunan untuk selamatkan kedudukan Islam agama Persekutuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tujuan utama Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya pada Jumaat ini bagi menyelamatkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan di negara ini.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, himpunan itu juga sebagai sokongan ke arah untuk memperkasakan institusi syariah di Malaysia.

“(Ia juga bagi) Memelihara kedaulatan agama Islam agar tidak diperkecilkan bidang kuasa dan fungsinya, (dan) menggesa usaha meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Azmer, menyokong himpunan tersebut bertujuan mendesak agar kuasa menggubal undang-undang jenayah syariah diberikan kepada Dewan Undangan Negeri serta memastikan tidak ada lagi kejayaan kes mencabar Mahkamah Syariah pada masa hadapan.

Tambah beliau lagi, sokongan kepada himpunan itu adalah bagi menghalang usaha golongan liberal dan sekular cabar enakmen syariah dan juga mengelakkan lebih banyak enakmen itu dibatalkan.

“(Ia juga bertujuan) Mengadilli dan menjatuhkan hukum kepada orang Islam dengan Undang-undang Syariah (dan) mengumpulkan kekuatan umat Islam agar sama-sama mempertahankan undang-undang syariah,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -