Cegah segera penjualan ‘Energy Stick’

Khairul Faizi Ahmad Kamil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu bertindak segera untuk memastikan produk penyedut hidung atau dikenali sebagai ‘Energy Stick’ yang kini giat dijual dan dipromosikan menerusi sosial media tidak lagi dijual di pasaran.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata apabila produk itu menjadi ancaman khususnya kepada golongan pelajar sekolah dan dibimbangi akan memberikan kesan negatif kepada mereka dalam jangka masa panjang.

Katanya, pendedahan KKM baru-baru ini bahawa kewujudan produk itu giat dijual dan dipromosikan menerusi media sosial kononnya dapat memberi tenaga dan kesegaran kepada pengguna adalah satu perkara yang mengejutkan.

Sebelum ini, ujarnya golongan itu telah terdedah dengan rokok elektronik atau vape, kini produk ‘energy stick’ menjadi ancaman baharu.

Beliau berkata, penggunaan ‘tagline’ oleh sebahagian penjual ‘Sedut dahulu, baru pergi sekolah’ dan ‘Sedut dulu baru mulakan kerja’ sudah membayangkan bahawa sasaran jualan produk itu adalah untuk pelajar sekolah yang diakui bahawa mereka akan mudah terpengaruh dengan iklan seperti itu.

“Produk jolok hidung dan sedut itu adalah terkini di pasaran dan mula popular dalam kalangan pelajar sekolah yang dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.

“Produk ini dipromosikan sebagai produk untuk memberi tenaga dan untuk memberi kesegaran kepada pengguna.

“Saiz produk yang kecil, berwarna warni yang didatangkan dengan pelbagai perisa memudahkan golongan pelajar sekolah untuk menyorokkan produk ini dan mudah di bawa bersama kemana-mana,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Justeru itu, Khairul Faizi berkata adalah sangat wajar perkara itu diberikan penjelasan kepada semua pihak.

Kata beliau, ianya bukan sahaja disebarkan maklumat kepada media massa dengan segera dan berkala supaya kesan negatif terhadap masyarakat dapat dibenteras.

Hal ini berikutan, pendedahan oleh Public Health Malaysia (PHM) sebelum ini menerusi hantaran di Facebook meminta masyarakat agar berhati-hati dengan produk itu.

PHM memaklumkan, produk itu mempunyai dua corong yang muat ke lubang hidung dan boleh disedut melalui hidung terus ke paru-paru.

Adalah difahamkan bahawa pengambilan produk itu sama seperti pengambilan dadah melalui hidung ‘snorting’ dan secara psikologinya adalah sangat negatif kerana menggalakkan pengguna untuk mencuba bahan lain termasuk dadah.

“Apabila kita berhadapan dengan dunia yang semakin canggih teknologinya, sudah tentu juga kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai kaedah yang diubah suai untuk merosakkan masyarakat khususnya dalam  kalangan kakitangan pejabat, pelajar-pelajar sekolah dan remaja.

“Sekiranya perkara ini tidak dibanteras oleh pihak berkuasa dan masyarakat di luar sana tidak mengambil peduli tentang perkara ini, dikhuatiri akan mewujudkan budaya negatif dalam kalangan masyarakat kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -