Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia bakal junam semula?

Muhammad Mohan ketika mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 di Petaling Jaya, Selangor pada 30 Jan 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia meningkatkan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2023 bukanlah tiket untuk pentadbiran negara terus selesa dan boleh mendabik dada.

Ia memandangkan, entiti yang bertanggungjawab menyelia indeks ini iaitu Transparency International Malaysia (TI-M) meletakkan beberapa kebimbangan besar dalam pola rasuah korupsi di Malaysia. 

- Advertisement -

Profesional Istiqamah dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kegusaran yang diangkat TI-M tersebut bermaksud pola sedang berlaku itu mungkin menjejaskan persepsi rasuah untuk tahun akan datang 

Menurut Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan yang dipetik dalam kenyataan tersebut, trend ini mungkin menurun berikutan kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau merujuk berkenaan 47 kes rasuah dan salahguna kuasa oleh Presiden Umno itu yang telah dibuktikan prima facie di mahkamah pada September 2023, tetapi akhirnya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA). 

Dijelaskan bahawa, hal demikian adalah kerana CPI dikeluarkan untuk tahun 2023 hanya mengambil kira sehingga tempoh waktu Ogos 2023, bermakna kes September 2023 itu akan menjadi sebahagian indeks 2024.

Selain itu menurut kenyataan tersebut, beberapa teguran turut dikeluarkan oleh Presiden TI-M antaranya termasuklah berkenaan aspek strategi dan pendekatan yang akan digunakan oleh kerajaan dalam membasmi rasuah. 

“Beliau mengakui antara faktor peningkatan ranking Malaysia adalah disebabkan arahan PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) yang meletakkan sasaran ranking 25 menjelang 2035. Hal ini mungkin menandakan keazaman politik yang kukuh oleh PMX untuk  membanteras rasuah. 

“Namum,  ia perlu disusuli dengan pelan strategik yang tersusun bagi membasmi rasuah yang menjalar secara sistemik dalam pentadbiran negara. Jika PMX masih meneruskan slogan dan ucapan retorik, tidak mustahil semua ini akan hilang seri dan maknanya.

“Selain kes DNAA Zahid Hamidi, rakyat juga perlu ambil cakna berkenaan beberapa kes lain antaranya,” ujar kenyataan tersebut menyenaraikan dua kes besar yang amat meragukan.

Pertama, dakwaan rasuah yang terpalit pada Kementerian Sumber Manusia bawah V Sivakumar yang menyaksikan tuduhan RM97 juta rasuah dan penyelewengan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut kenyataan itu, Setiausaha Sulit dan Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri yang dilantik sendiri oleh Sivakumar telah ditahan oleh SPRM, namun begitu Menteri Sumber Manusia sendiri tidak pula dipanggil untuk membantu siasatan apatah lagi diarahkan untuk berehat. 

Kes ini berakhir dengan beberapa pegawai berkait dibuang dan ditukar tanpa sebarang pendakwaan rasmi dibuat.

Kedua, isu pelepasan Perdana Menteri Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak daripada kes SRC International yang menyaksikan Kerajaan Madani sendiri tidak jelas apa pendirian yang ingin dibawa. 

Lembaga Pengampunan yang menguruskan pengampunan kes dianggotai sendiri oleh Perdana Menteri iaitu Dato’ Seri Anwar, sedangkan pada era Pakatan Harapan menjadi pembangkang, kes Dato’ Sri Najib menjadi bahan kempen utama oleh Pakatan Harapan.

“Cubaan PMX untuk meletakkan tanggungjawab sepenuhnya terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam kuasa pengampunan adalah tidak tepat sebagaimana pandangan pernah diberikan mantan Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad. 

“(Iaitu) Kuasa pengampunan tidak boleh dilakukan secara bersendirian oleh YDPA melainkan ia dilakukan atas nasihat Lembaga Pengampuan yang ditubuhkan untuk tujuan itu.

“Pemerintah tidak boleh gelojoh dalam meraikan ‘kemenangan’ ini jika ia sekadar bersifat sementara. Bagi memastikan Indeks Persepsi Rasuah bukan sekadar perepsi, kerajaan perlu ‘walk the talk‘.

“(Iaitu) mula melaksanakan langkah serius dan berstrategi dalam membasmi rasuah, bukannya cukup sekadar menerusi ucapan retorik yang memukau,” ujar kenyataan Profesional Istiqamah.  HARAKAHDAILY  3/2/2024

- Advertisement -