Tindakan Afrika Selatan berjaya heret Zionis ke ICJ 

Muhammad Khalil (kanan) Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Abd Almajeed Alzindani.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tindakan Afrika Selatan mengheret Zionis Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah satu kejayaan.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, susulan daripada itu, orang Islam bahkan bukan Islam di serata dunia sudah nampak kezaliman yang dilakukan oleh Zionis.

- Advertisement -

“Kita kena faham sebenarnya yang kita lihat pada hari ini sistem politik, ekonomi, maklumat dan lain-lain adalah sistem yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan barat dan menyelamatkan Israel pada perang dunia yang kedua.

“Jadi mahkamah jenayah antarabangsa ini adalah satu sistem perundangan dibawah United Nation sepanjang 75 tahun tertubuhnya negara haram Israel walaupun banyak kes-kes pembunuhan, melanggar hak asasi manusia yang dilakukan oleh Zionis Israel tidak pernah dibawa ke mahkamah jenayah antarabangsa, usaha itu ada tapi dihalang.

“Sehinggalah berlakunya peristiwa Taufan al-Aqsa dan ia berjaya dibawa dan ini merupakan satu kejayaan,” katanya pada sidang media pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia, di sini, semalam.

ICJ yang berpangkalan di The Hague, Belanda itu baru-baru ini memerintahkan supaya Rejim Zionis mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, selain membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah itu.

Ketika ditanya berhubung keputusan tersebut, Khalil berkata, dari segi hukuman itu mereka terlepas kerana di belakang Zionis Israel ialah Amerika Syarikat iaitu kuasa besar dunia.

Bagaimanapun, katanya, dari segi moral dan politik sekarang ini bukan sahaja orang Islam bahkan orang bukan Islam termasuk barat di serata dunia sudah nampak kezaliman yang dilakukan oleh Zionis Israel.

“Itu mesej yang kita perlu ambil dari keputusan tersebut, bukan kita nak supaya Israel hentikan serangan, bantuan masuk, itu tidak akan berlaku selagi mana Israel dilindungi oleh Amerika Syarikat.

“Namun sekarang ini, umum sudah nampak inilah sebenarnya wajah Amerika Syarikat yang melindungi kezaliman Zionis Israel,” katanya.  HARAKAHDAILY  2/2/2024

- Advertisement -