Israel tuduh 190 kakitangan PBB pengganas

Dokumen risikan Israel mendakwa kira-kira 190 kakitangan UNRWA termasuk guru, telah menjadi anggota pejuang Hamas. (FOTO: Anadolu Agency)
- Advertisement -

BAITULMAQDIS/GENEVA: Dokumen risikan Israel mendakwa kira-kira 190 kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) termasuk guru, telah menjadi anggota pejuang Hamas.

Dokumen setebal enam muka surat itu yang mendakwa mempunyai nama dan gambar untuk 11 daripada mereka itu dikatakan telah mendorong sekumpulan negara menghentikan dana untuk agensi bantuan Palestin PBB itu, termasuk dakwaan kononnya beberapa kakitangan UNRWA turut mengambil bahagian dalam penculikan dan pembunuhan ketika serbuan pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023 yang kemudian mencetuskan perang Gaza sehingga hari ini.

- Advertisement -

Dokumen itu yang dilihat oleh wartawan Reuters mendedahkan, salah seorang daripada 11 yang dituduh Israel itu itu adalah kaunselor sekolah yang membantu anaknya menculik seorang wanita semasa penyusupan Hamas di mana Israel mengatakan 1,200 orang terbunuh dan 253 telah diculik.

Seorang lagi, pekerja sosial UNRWA, dituduh terlibat secara tidak spesifik dalam pemindahan mayat tentera Israel yang terbunuh ke Gaza dan menyelaraskan pergerakan trak pikap yang digunakan oleh penceroboh dan bekalan senjata.

Sehubungan itu, Menteri Luar Israel, Katz  menggesa Ketua UNRWA Philippe Lazzarini  meletakkan jawatan; manakala Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh pula mendakwa Israel telah memalsukan maklumat untuk memburukkan UNRWA, yang mengatakan ia telah memecat beberapa kakitangan dan sedang menyiasat dakwaan itu.

Semalam, UNRWA berkata ia tidak akan dapat meneruskan operasi di Gaza dan di seluruh wilayah selepas penghujung Februari jika pembiayaan tidak disambung semula.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dijadualkan bertemu dengan penderma utama UNRWA di New York, pada hari ini.

Terdahulu, enam negara Eropah menghentikan sementara pembiayaan untuk UNRWA terdiri daripada Britain, Jerman, Italy, Belanda, Switzerland dan Finland menyertai Amerika Syarikat, Australia dan Kanada dalam menghentikan sementara pembiayaan sumber sokongan kritikal untuk penduduk di Gaza, selepas dakwaan oleh Israel itu.  HARAKAHDAILY  30/1/2024

- Advertisement -