Penduduk risau kesan hakisan sungai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penduduk di Taman Haji Hadi, Pendek Jalan Salor, di sini hidup dalam ketakutan sejak 16 tahun lalu berikutan hakisan sungai yang berlaku semakin teruk dan membimbangkan terutama ketika musim tengkujuh.

- Advertisement -

Kira-kira empat daripada 12 keluarga di sekitar perumahan berkenaan kini berada dalam keadaan ketakutan malah ada yang terpaksa berpindah ke tempat lain demi keselamatan nyawa mereka.

Menurut Mohd Nawi Yaacob, 53, masalah berlaku sejak belasan tahun itu telah mengakibatkan kira-kira seluas 100 meter telah terhakis dan dibawa arus sungai.

Katanya, akibat dari hakisan yang telah berlaku sejak sekian lama itu kini hanya tinggal jarak satu meter sahaja lagi bakal menghampiri ke kediaman mereka dan keadaan itu amat membimbangkan.

“Sebelum ini saya sendiri telah menyuarakan hal mengenai hakisan ini malah telah berjumpa dengan pihak terlibat. Namun sehingga kini keadaan itu dilihat masih belum ada sebarang tindakan dilakukan.

“Kami risau akan keselamatan dan nyawa kami, oleh itu kami memohon agar pihak terbabit turun dan lihatlah keadaan kami di sini dan agar dapat menyelesaikan segera masalah yang dihadapi oleh kami di sini.

Sementara itu, Harniza Yaacob, 53, turut meluahkan rasa bimbang dengan keadaan hakisan yang berlaku semakin teruk sehinggakan menghampiri kawasan kediamannya.

Beliau yang juga baru sahaja kehilangan suaminya sejak lima bulan lalu turut berasa sedih apabila mengenangkan dengan nasib yang bakal menimpa mereka sekeluarga sekiranya hakisan itu dibiarkan tanpa ada sebarang Tindakan.

“Saya risau dengan keadan hakisan ini yang mana semakin hari semakin membimbangkan. Saya risau sekiranya berlaku runtuhan sudah tentu kediaman kami akan musnah dan di mana lagi kami mahu berlindung.

“Justeru, saya merayu pada pihak terlibat agar mengambil tindakan pantas  dalam menyelesaikan hal ini sekaligus dapat melegakan kerisauan yang dihadapi oleh kami semua,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Mohd Saizol Ismail turut mengambil perhatian berhubung perkara itu dan akan mengambil langkah segera.

Katanya, beliau akan membawa perkara itu dan berbincang bersama dengan pihak terlibat bagi mencari jalan penyelesaian. – HARAKAHDAILY 29/1/2024

- Advertisement -