SATU beri subsidi 20 meter padu pengguna B40

- Advertisement -

MARANG: Kerajaan negeri akan meneruskan pemberian subsidi kepada pengguna domestik seperti disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif yang diberi operator bekalan air negeri iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) kepada pengguna domestik iaitu pemberian subsidi 20 meter padu kepada pengguna golongan B40.

“Pemberian subsidi tersebut melibatkan 11,832 akaun dengan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun.

“Jumlah nilai pemberian air percuma oleh kerajaan negeri sebenarnya meningkat daripada RM8.40 kepada RM10 sebulan untuk setiap akaun penerima. Peningkatan kos ini bagaimanapun akan diserap dan ditanggung kerajaan negeri,” katanya sebagai mengulas pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM). (Foto atas)

Oleh itu beliau menggalakkan rakyat yang layak dan belum memohon supaya membuat permohonan bagi mendapat subsidi kerajaan negeri.

Dr Ahmad Samsuri juga berkata, pemberian subsidi air akan diteruskan kepada masjid dan surau berdaftar melibatkan 1,883 akaun dengan kos tanggungan RM1.4 juta setahun, menjadikan RM2.5 juta setahun ditanggung kerajaan negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, pelarasan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Terengganu adalah minimum.

“Sebanyak 73.8 peratus pengguna domestik secara purata menggunakan hingga 40 meter padu air sebulan hanya akan mengalami kenaikan purata antara RM1.80 hingga RM7.16 sebulan mengikut jumlah penggunaan, susulan kenaikan tarif air bermula 1 Februari ini. Kadar kenaikan berkenaan paling rendah,” katanya.

Menurutnya juga, kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu seperti yang diselaraskan SPAN masih tidak mencukupi untuk mengatasi kenaikan kos operasi sejak kali terakhir tarif air di Terengganu disemak pada 1997.

“Ada negeri-negeri yang kenaikannya yang lepas 10 tahun, 15 tahun tapi di Terengganu lebih dari 20 tahun sedikit sebanyak ia boleh membantu syarikat-syarikat air untuk menyediakan keperluan lebih baik kepada pengguna.

“Jadi is a win-win untuk syarikat air dan pengguna supaya perkhidmatan itu menjadi lebih baik,” katanya selepas Majlis Penyerahan Geran Hak Milik 5A DUN Rhu Rendang, di Dewan Utama Majlis Daerah Marang hari ini.

Rabu lepas SPAN mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksana bermula 1 Februari ini.

Kenaikan itu disifatkan suruhanjaya berkenaan sebagai tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemampanan jangka panjang perkhidmatan air negara. – HARAKAHDAILY 21/1/2024

- Advertisement -