OpenAI ikrar tidak campur tangan dalam pilihan raya

Teknologi AI melalui ChatGPT dibimbangi akan menggugat integriti politik dengan mencampuri proses pilihan raya. (FOTO: Medium)
- Advertisement -

SAN FRANCISCO: Makmal kecerdasan buatan OpenAI telah menerbitkan catatan blognya sebagai penegasan ikrarnya bahawa teknologinya tidak akan campur tangan dalam pilihan raya, ketika lebih satu pertiga daripada dunia bersiap sedia untuk mengadakan pengundian politik pada tahun ini.

Ancaman penggunaan kecerdasan pintar (AI) dalam mengganggu integriti pilihan raya muncul sejak syarikat yang disokong Microsoft (MSFT.O) mengeluarkan dua produk, ChatGPT dan DALL-E.

- Advertisement -

ChatCPT berkebolehan meniru tulisan manusia dengan cukup meyakinkan, sementara teknologi DALL-E, boleh digunakan untuk mencipta ‘deepfakes’, atau imej rekaan yang kelihatan realistik seperti asli.

Pihak yang dilanda kebimbangan termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI sendiri, Samuel atau Sam Altman yang memberi keterangan di Kongres pada bulan Mei 2023 bahawa dia ‘gugup’ tentang keupayaan AI generatif dalam menjejaskan integriti pilihan raya melalui apa yang dikenali sebagai  ‘maklumat interaktif satu lawan satu’.

Syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu berkata, di Amerika Syarikat, yang bakal mengadakan pilihan raya presiden pada tahun ini, ia bekerjasama dengan Persatuan Setiausaha Negara Kebangsaan (NASS), yang merupakan sebuah organisasi yang memfokuskan pada mempromosikan proses demokrasi yang berkesan seperti pilihan raya.

Ancaman penggunaan AI dalam mengganggu integriti pilihan raya muncul sejak OpenAI mengeluarkan ChatGPT dan DALL-E. (FOTO: Vox)

“ChatGPT akan mengarahkan pengguna ke CanIVote.org apabila ditanya soalan berkaitan pilihan raya tertentu,” katanya.

Syarikat itu juga berkata, ia sedang berusaha untuk menjadikannya lebih jelas apabila imej dijana AI menggunakan DALL-E, dan merancang untuk meletakkan ikon “cr” pada imej untuk menunjukkan ia dijana AI, yang mengikut protokol yang dicipta oleh Gabungan untuk Asal Kandungan dan Ketulenan.

“Ia juga sedang mengusahakan cara untuk mengenal pasti kandungan yang dijana DALL-E walaupun selepas imej telah diubah suai,” jelas beliau.

Tambah Altman, dalam catatan blognya, OpenAI menekankan dasarnya yang  melarang teknologinya itu daripada digunakan dalam cara yang telah dikenal pasti sebagai berpotensi menyalahgunakan, seperti mencipta chatbot yang berpura-pura menjadi orang sebenar, atau tidak menggalakkan orang ramai membuang undi.

Sam Altman (kiri) ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Switzerland pada 15 Jan 2024. (FOTO: Bloomberg)

“Ia (dasar) juga melarang DALL-E daripada mencipta imej orang sebenar, termasuk calon politik,” tegasnya.

Syarikat itu  sebelum ini mengakui menghadapi cabaran mengawal apa yang sebenarnya berlaku pada platformnya.

Apabila Reuters tahun lepas cuba mencipta imej Donald Trump dan Joe Biden, permintaan itu telah disekat dan mesej muncul mengatakan ia ‘mungkin tidak mengikut dasar kandungan syarikat kami’.

Reuters, pada ketika itu bagaimanapun telag berjaya mencipta imej sekurang-kurangnya sedozen ahli politik AS yang lain, termasuk bekas Naib Presiden, Mike Pence.  HARAKAHDAILY  16/1/2024

- Advertisement -