RUU dicadang Zahid kekang kuasa budibicara Agong

Zahid takut hilang jawatan dan dipenjarakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan RUU Penggal Tetap Kerajaan, disifatkan sebagai cuba mengekang kuasa dan budibicara Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan, Yang di-Pertuan Agong dengan budibicara padanya berkuasa menukar Perdana Menteri yang pada hemat Baginda telah hilang sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Perlembagaan Malaysia katanya, membenarkan pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan di tengah penggal jika Perdana Menteri sedia ada tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat pada hemat Yang di-Pertuan Agong. 

“Rang Undang-undang yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri ini bukan sahaja mengekang suara rakyat dan wakil-wakil rakyat di Parlimen, tetapi juga mengekang kuasa dan budibicara YDP Agong.

“Sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan gagal mentadbir dan mengakibatkan kesengsaraan rakyat, adalah memudaratkan jika rakyat dan YDP Agong perlu menunggu sehingga habis penggal untuk menukar Perdana Menteri dan kerajaan. 

“Jika rakyat susah dan tidak makan akibat kegagalan kerajaan, mereka tidak boleh tunggu lima tahun,” ujar beliau yang dipecat oleh parti Melayu itu ada 6 Disember tahun lalu.

Jelas Isham, semak imbang kerajaan oleh rakyat dan wakil-wakil rakyat perlu dilakukan secara berterusan dan bukan hanya setiap 5 tahun dalam PRU di mana kerana itulah peruntukan tersebut ada dalam Perlembagaan selama ini.

Tegas beliau, RUU yang digubal di Parlimen perlu dibuat untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk menyelamatkan tengkuk segelintir ahli-ahli politik dalam kerajaan, sedangkan RUU dicadang Zahid itu bukanlah untuk kepentingan rakyat.

“Tetapi untuk kepentingan diri segelintir ahli-ahli politik dalam kerajaan termasuk Zahid sendiri yang mungkin takut jika kerajaan bertukar mereka akan hilang kuasa dan jawatan dan mungkin akan kembali didakwa di mahkamah dan masuk penjara dalam masa terdekat.

“RUU (dicadang Zahid) ini juga akan menghalang kebebasan wakil-wakil rakyat di Parlimen untuk menukar Perdana Menteri dan kerajaan di tengah penggal sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan sedia ada gagal mentadbir negara dengan baik. 

“Atau telah hilang sokongan rakyat atau wakil-wakil rakyat di Parlimen. Ini boleh menyebabkan keadaan di mana Perdana Menteri dan kerajaan menjadi leka atau ‘complacent’ untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negara dengan cekap dan amanah. 

“Keadaan ini adalah tidak baik untuk rakyat. Ia juga boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa oleh Perdana Menteri dan kerajaan apabila mereka tahu mereka akan kekal memegang kuasa sehingga habis penggal walaupun mereka gagal, tidak buat kerja, terlibat dalam rasuah atau sebagainya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 16/1/2024

- Advertisement -