Jangan terpedaya belajar sekolah Yik sukar dapat kerja

- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun ada pihak yang mendakwa kos besar yang dibelanjakan oleh kerajaan Kelantan untuk pendidikan  merupakan ‘perbelanjaan hangus’, namun kerajaan negeri tidak akan menarik peruntukan untuk  Yayasan Islam Kelantan (Yik) lebih RM130 juta setahun.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, ini kerana Kelantan mengutamakan pendidikan Islam pada rakyatnya termasuk akhlak dan al Quran sebagaimana yang diasaskan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjadi menteri besar.

“Lagipun apa yang saya perhatikan bekas pelajar Yik bertebaran di seluruh negeri dalam negara ini termasuk Putrajaya.

“Bila saya masuk ke pejabat-pejabat tertentu di sana (Putrajaya) ramai yang memperkenalkan diri masing-masing bekas pelajar Yik termasuk dari MML (Maahad Muhammadi Lelaki),” ujarnya ketika berucap merasmikan kiosk MML di sini hari ini. Sebanyak enam buah kiosk dibina dengan kos keseluruhan RM152,788.

Katanya, kerana itu orang ramai diharap tidak termakan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan belajar di sekolah Yik sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Jelasnya, sekolah Yik memperkenalkan pelbagai aliran termasuk sains untuk memberi pilihan pada pelajarnya yang berminat dalam bidang profesional.

Tambahnya, pelajar yang berminat dalam bidang tersebut sama ada doktor, jurutera, pemandu kapal terbang, pakar dalam bidang-bidang tertentu boleh dimulakan di sekolah aliran Yik.

Beliau bagaimanapun bersyukur sambutan masyarakat begitu tinggi terhadap sekolah agama yang dikendalikan Yik.

Katanya, dua sekolah tahfiz masing-masing di Gua Musang dan Kuala Krai akan dibuka bagi memenuhi permintaan ramai.

Sebelum ini, Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM137.20 juta dalam Belanjawan 2024 bagi melancarkan program pendidikan termasuk penubuhan dua maahad tahfiz yang baharu.

Katanya, dua maahad tahfiz berkenaan adalah menaik taraf SMU (A) Al-Saadah Batu Mengkebang Kuala Krai dan SMU (A) Al-Taqwa Ciku, Gua Musang. – HARAKAHDAILY 14/1/2024

- Advertisement -