BENTONG: Pemuda PAS Pahang mendesak kerajaan negeri agar membatalkan pesta muzik yang bakal diadakan menjelang Ramadan.
Ini seperti yang diikrar menteri besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai lalu bahawa Pahang lebih Islam daripada negeri-negeri yang diperintah PAS.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih melalui satu hantaran di media sosial hari ini, meluah kekesalan terhadap penganjuran pesta muzik di bandar Kuantan pada 24 Februari ini dalam keadaan 15 hari lagi umat Islam bersiap sedia menyambut kedatangan Ramadan.
Penganjuran itu, jelasnya mencerminkan ketidaksensitifan pihak-pihak terbabit terhadap solidariti kepada rakyat Palestin sementelah pula umat Islam kini sudah memasuki bulan pesta ibadah.
“Tiada langsung sensitiviti kepada keadaan semasa di mana umat Islam di Palestin masih lagi diserang oleh puak zionis dan pakatan ahzab moden laknatullah.
“Kita kini baru memasuki bulan Rejab yang jelas berkaitan dengan isu Palestin. Kedatangan Rejab juga dikaitkan dengan satu doa yang diajarkan baginda Rasulullah SAW menunjukkan Ramadan semakin menghampiri kita,” ujarnya.
Katanya, bulan Rejab dan Syaaban merupakan bulan yang penuh keberkatan yang mana dianjurkan memperbanyakkan ibadah seperti puasa sunat, sedekah, zikir, membaca al Quran dan lain-lain dan penganjuran pesta muzik itu tidak mempunyai sebarang kerasionalan.
“Kian hari kita semakin jauh dengan agama. Sesetengah pihak ingin mengajak masyarakat dengan hiburan tanpa peduli kepada nasib umat Islam yang sering ditekan, disekat berkuliah dan sebagainya? Cukup!” luahnya tegas.
Zarimi mendesak kerajaan negeri membatalkan penganjuran pesta tersebut jika benar ucapan menteri besar ketika berkempen di PRK Pelangai pada 28 September tahun lalu, yang berkata “apa yang tak Islamnya? Pahang ni lebih dari negeri yang mereka perintah” supaya selari seperti diucap.
“Jika benar Pahang lebih Islam, kita mendesak agar pihak kerajaan negeri membatalkan penganjuran pesta muzik Kuantan ini sebelum penganjuran ini benar-benar berlaku nanti di saat hampirnya dengan Ramadan.
“Kami memandang serius akan hiburan melampau kian membarah dalam negeri Pahang khususnya dan Malaysia amnya,” ujarnya.
Tegasnya, Pemuda PAS Pahang akan terus dengan prinsip menerapkan nilai-nilai Islam sesuai dengan matlamat penubuhan PAS seperti termaktub di dalam perlembagaan parti. – HARAKAHDAILY 14/1/2024