Che’gu Bard gesa siasat isu rasuah tebatan banjir RM16 bilion

Che'gu Bard (dua dari kiri) dalam Sidang Media Berhubung Laporan Polis mengenai isu Rasuah Rancangan Tebatan Banjir (RTB), di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada hari ini, 20 Dis 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Suffi Kamari)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis telah dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard menggesa siasatan dijalankan berhubung dakwaan kes rasuah rancangan tebatan banjir bernilai lebih RM16 bilion.

Beliau berkata, pada April 2023 telah berlakunya kebocoran dokumen sulit mengenai surat yang ditandatangani Kementerian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Menteri Kewangan Malaysia.

- Advertisement -

Menurutnya, dalam surat tersebut ada menyatakan Kementerian tersebut meminta kelulusan Menteri Kewangan itu sendiri yang merupakan Perdana Menteri Malaysia untuk projek tebatan banjir di seluruh negara dengan senarai syarikat yang sudah disiapkan oleh Kementerian tersebut.

“Paling menarik dalam surat RTB tersebut adalah sebanyak RM16,639,677,000 dan siap dengan peruntukan RM500,000,000 atas nama Pasukan Khas (Pejabat Perdana Menteri) itu sendiri secara off budget yang sememangnya lagi tinggi dan berbeza daripada cadangan Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, peningkatan kos tersebut adalah hasil daripada rasuah yang mana kesemua syarikat yang tersenarai dipaksa untuk menandatangani perjanjian memberikan komisyen kepada proksi Menteri dan orang dalam kerajaan.

Namun begitu, kata beliau lagi perkara tersebut dipanggil sebagai kononnya ‘fi perunding cara’ sedangkan hakikatnya ia adalah rasuah.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Berhubung Laporan Polis mengenai rasuah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berhampiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Che’gu Bard berkata, antara pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut ialah Tetuan Hamidah & Rafidah yang beralamat di Kelang dan Tetuan Siti Munirah & Co yang beralamat di Batang Kali.

“Antara proksi yang terlibat ialah Bongsu Ali yang merupakan seorang pemandu (gred jawatan H11) di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor dan diikuti dengan sebuah syarikat yang menjual alat kecantikan iaitu CMA Global.

“Ini merupakan satu perkara yang sememangnya tidak masuk akal apabila kita betul-betul teliti mengenai perkara ini,” katanya lagi.

Apabila ditanya mengenai mengapa tidak dilaporkan masalah ini kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), beliau menyatakan ketidakpercayaan kepada pihak tersebut lebih-lebih lagi apabila SPRM sendiri dikawal oleh pihak kerajaan itu sendiri.

“Jadi, saya lebih sedikit percaya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat laporan sebegini dan kita minta PDRM untuk siasat perkara ini kerana kerajaan seolah-olah menghalalkan amalan rasuah dalam negara ini,” katanya.  HARAKAHDAILY 20/12/2023

- Advertisement -