TEL AVIV: Presiden Isaac Herzog berkata, Israel kini bersedia untuk bersetuju dengan gencatan senjata sementara baharu dengan Hamas di Gaza bagi memastikan pembebasan lebih banyak tawanan yang ditahan oleh kumpulan Palestin.
“Israel bersedia untuk satu lagi jeda kemanusiaan dan bantuan kemanusiaan tambahan untuk membolehkan tebusan dibebaskan,” kata Herzog memberitahu perhimpunan duta pada hari Selasa.
Komen itu datang di tengah-tengah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel untuk menghentikan serangannya ke atas Gaza dan membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung.
Perjanjian Israel-Hamas sebelum ini yang diuruskan oleh Qatar dan Mesir sebagai perantara yang membawa kepada gencatan senjata selama seminggu pada akhir November, yang menyaksikan Hamas membebaskan 86 wanita dan kanak-kanak warga Israel yang ditawannya sebagai pertukaran untuk 240 wanita dan remaja Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Hamas juga turut membebaskan 24 warga asing ketika tempoh gencatan senjata yang menyaksikan pertempuran antara Hamas dan tentera Israel terhenti.
Terdahulu Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang juga berkhidmat sebagai menteri luar negara Teluk, Pengarah Mossad, David Barnea dan Pengarah CIA, Bill Burns mengadakan perbincangan di Poland pada Isnin untuk membincangkan perjanjian baharu yang berpotensi untuk mendapatkan pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang masuh ramai ditahan di penjara Israel dan jeda kemanusiaan dalam pertempuran
“Rundingan itu positif dengan perunding meneroka dan membincangkan cadangan berbeza dalam usaha untuk meneruskan rundingan,” kata sumber yang diberi taklimat mengenai usaha diplomatik kepada agensi berita Reuters.
“Persetujuan bagaimanapun tidak dijangka dengan serta-merta,” tambahnya.
Sementara Hamas berkata dalam satu kenyataan pada Selasa bahawa ia menolak sebarang bentuk rundingan mengenai pertukaran tahanan ‘di bawah perang genosid Israel yang berterusan’ terhadap penduduk awam Palestin di Gaza.
Kumpulan pejuang Palestin itu berkata, ia terbuka kepada mana-mana inisiatif yang menyumbang kepada ‘menamatkan pencerobohan Israel’ dan membuka lintasan sempadan ‘untuk membawa bantuan dan memberikan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza’. – HARAKAHDAILY 20/12/2023