‘Jangan mencelah ketika Menteri buat pembentangan’

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi peringatan kepada setiap ahli Dewan Negara supaya tidak membuat sebarang pencelahan ketika Menteri membuat pembentangan.

Beliau menyatakan perkara tersebut adalah mengikut tradisi yang telah diamalkan sejak sekian lama yang mana perkara tersebut masih perlu dilakukan dalam apa pun perbahasan Dewan Negara.

- Advertisement -

“Namun begitu, apabila Menteri membuat sesi penggulungan di bawah Peraturan 36b maka mana-mana ahli Dewan Negara boleh membuat pertanyaan,”  katanya sebelum membenarkan Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Merokok seterusnya di Dewan Negara, di sini,  hari ini.

Beliau turut memuji Senator Hussin Ismail kerana mengamalkan tradisi tersebut iaitu hanya bertanya apabila Menteri membuat sesi penggulungan.

Menurut Wan Junaidi, perkara tersebut dibenarkan tetapi dengan syarat perlu mengikut peraturan dengan mengangkat buku peraturan dan apabila buku tersebut diangkat maka mana-mana ahli Dewan Negara perlu duduk termasuklah Menteri.

“Maknanya boleh Haji Hussin (Ismail) bertanya tapi syarat kalau menegur secara peraturan minta tolong raise  (angkat)  buku dan bila tengok raise buku ini yang lain semua duduk termasuklah Menteri sehingga Speaker bertanya dan beri penjelasan.

“Semasa pembentangan jangan mencelah tetapi semasa menggulung boleh mencelah dengan syarat berdiri dan Menteri beri ruang sebab masa itu the floor ialah di tangan Menteri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap setiap ahli Dewan Negara mengambil maklum mengenai perkara tersebut supaya setiap kali perbahasan dilakukan mesti mengikut tradisi yang telah ditetapkan.  HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -