KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff ingin kerajaan menyatakan sejauh mana pemantauan atau penguatkuasaan dijalankan di peringkat sekolah atau sekitarnya berkenaan penjualan vape yang semakin membimbangkan terutama dalam kalangan pelajar.
“Sekarang ini pula adalah trend vape yang dibuat dalam pelbagai bentuk yang menarik dan perkara ini mudah disalah faham oleh kanak-kanak sekolah yang mengatakan bahawa bila vape ini ada rasa buah dan rupa (bentuk) botol vape itu cantik dan menarik seolah-olah bahawa vape ini tidak berbahaya sebab rasa dan bau vape seperti buah.
“Jadi, saya nak membangkitkan isu ini kerana penjualan sebegini di sekolah ataupun di sekitar sekolah, di tepi jalan, di kedai-kedai ataupun di mana saja, dia (penjualan vape) boleh menarik kanak-kanak untuk membeli (vape) kerana di dalam persepsi mereka benda ini tidak berbahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas perbahasan peringkat Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Selain itu, Wan Marftina turut menyentuh kempen-kempen kesedaran yang dijalankan di peringkat sekolah sebagai contoh mengenal pasti adakah sesuatu bahan itu berbahaya ataupun tidak.
“Maksudnya vape ini walaupun bentuknya cantik, walaupun rasa dan bau adalah buah.. ia adalah sesuatu yang berbahaya untuk kesihatan.
“Bagaimana kerajaan membuat kesedaran kepada kanak-kanak sekolah terutama di peringkat menengah dan rendah, dan juga di peringkat universiti.
“Seperti Yang Berhormat Menteri tadi telah menyebut bahawa ketagihan (vape) akan berlaku bila anak-anak ini bermula sebelum umur 21 tahun.
“Jadi, anak di universiti pun antara umur 18 hingga 21 tahun, maka perlu diberi kesedaran betapa bahayanya vape dan sebagainya rokok ataupun apa-apa sahaja produk yang mengandungi nikotin ataupun tembakau. Maka, saya mohon penjelasan?” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!