Adakah KPM perluaskan skop bantuan sekolah agama?

Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditanya adakah ia atau pihak kerajaan bercadang mengadakan perbincangan bagi memperluaskan lagi skop bantuan kepada sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah bantuan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Senator Abdul Nasir Idris yang mengutarakan persoalan itu berkata, bantuan yang dimaksudkan beliau ialah  pengagihan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) diberikan kepada sekolah-sekolah kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK).

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dalam jawapannya berkata, setakat ini kelulusan BKP diberikan kepada SK dan SBK sahaja kerana skim ini terbatas.

“Namun demikian untuk membantu anak-anak kita yang memerlukan bantuan KPM, ada skim-skim yang lain termasuk skim Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di mana untuk sekolah rendah diberikan RM100, sekolah menengah RM150 dan untuk tujuan kecemasan RM300.

“Bagi tahun 2024, saya boleh menyatakan di sini bahawa jumlah yang telah pun diperuntukan untuk KWAPM tegar adalah sebanyak RM150 juta, berbanding dengan 2023 iaitu RM94,405,375 ada satu kenaikan sebanyak RM55,594,625 iaitu suatu peningkatan sebanyak 58.89 peratus.

“Ini jelas terbukti bahawa warga KPM disini, kami amat prihatin berkenaan dengan kebajikan anak-anak kita yang miskin dan kita akan teruskan usaha kita untuk membantu keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.  HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -