Banyak agensi kerajaan Kelantan miliki stesen minyak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sehingga sekarang banyak agensi kerajaan Kelantan memiliki perniagaan stesen petrol bagi menjana ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

- Advertisement -

Antaranya Stesen Minyak Petronas di Kilometer 3 Jalan Kuala Krai, Kota Bharu yang dimiliki Koperasi Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad.

Selain itu BHPetrol Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Bandar Baru Tunjong jalan raya Tunjong-Pasir Mas yang dirasmi 6 September 2020.

Dan terbaharu pula Koperasi Peserta Ladang Rakyat Negeri Kelantan Berhad (KOPELADAR) memiliki stesen minyak Shell di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Tunjong.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Abdul Rahman Yunus berkata, stesen minyak itu beroperasi sejak setahun lalu.

Katanya stesen minyak terbabit diubah suai daripada stesen minyak sedia ada melibatkan kos keseluruhan RM4.44 juta.

Menurutnya, KOPELADAR mempelbagaikan perniagaan bertujuan untuk membantu ahli koperasi yang dipilih daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Hasil pemotongan dividen peserta Ladang Rakyat sebanyak RM10 sebulan sebagai modal saham koperasi.

“Dengan pemotongan sebanyak RM10 sebulan selama 10 bulan untuk dijadikan modal perniagaan. Kita bantu mereka melalui keuntungan perniagaan,” katanya selepas perasmian premis berkenaan petang semalam.

Beliau juga berkata, selain Stesen Minyak Shell, KOPELADAR mempunyai kedai runcit iaitu KPL Mart di Jalan Bayam yang beroperasi setahun lalu.

Kata beliau KOPELADAR mengorak langkah lebih jauh dengan merancang membuka KPL Mart di seluruh Kelantan pada masa akan datang.

“KOPELADAR turut merancang memiliki sebuah pasar raya selepas berjaya mewujudkan KPL Mart di setiap kawasan parlimen,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -