Tangkapan di lombong haram REE: Segera wujudkan SOP

- Advertisement -

PAS Perak mengikuti perkembangan tangkapan 28 individu yang dituduh mencuri khazanah nadir bumi REE di Hutan Simpan Bintang Hijau Hulu Perak pada 8 Disember lalu seperti siaran media PDRM. PAS Perak mengucapkan tahniah kepada pihak polis yang menjalankan Op Khazanah demi menjaga hasil bumi negeri Perak.

Seperti di ketahui umum Nadir bumi REE adalah hasil baru yang di temui di Semenanjung Malaysia khususnya di kawasan meliputi Perak dan Kedah. Ia sewajarnya menjadi sumber yang boleh membangunkan negeri dan memberi manfaat kepada rakyat terutama di sekitar kawasan tersebut.

PAS Perak menyokong semua usaha memaksimakan hasil bumi yang ada di Negeri Perak bagi membangunkan negeri. Kerajaan negeri telah memaklumkan dalam sidang DUN lepas bahawa kerajaan telah mendapat royalti sebanyak RM21.2 juta dari REE. Ia satu jumlah besar yang boleh dipertingkatkan jika diurus dengan lebih baik.

Penemuan nadir bumi di kawasan Hulu Perak adalah satu anugerah berharga yang sepatutnya dapat membangunkan kawasan Hulu Perak yang majoritinya adalah bangsa Melayu beragama Islam. Hulu Perak juga terkenal sebagai kawasan pengeluaran bijih timah. Walaupun beberapa orang Menteri Besar Perak berasal dari kawasan Hulu Perak namun daerah ini masih ketinggalan dari segi pembangunan.

Hulu Perak juga adalah kawasan strategik kerana ia bersempadan dengan Kedah, Kelantan dan daerah Betong Thailand. Data penduduknya yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu Islam masih dalam kategori B40 malah kebanyakannya masih dibelenggu kemiskinan.

PAS Perak menyeru kerajaan negeri agar segera mewujudkan SOP yang boleh digunapakai. Ini bertujuan agar hasil mahsul negeri dapat dikeluarkan secara optimum. Ia juga akan membuka seluasnya usaha ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan negeri. Dalam masa yang sama pemeliharaan dan pemuliharaan alam dapat ditingkatkan.

PAS Perak juga menyeru agar kerajaan negeri memberi tumpuan utama kepada kawasan yang mengeluarkan hasil tersebut untuk manfaat penduduk sekitar. Konsep ini sejajar dengan konsep zakat dalam Islam iaitu mengutamakan penduduk di mana hasil zakat diperolehi.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua dalam menjaga khazanah negara demi manfaat generasi akan datang yang mewarisi bumi kita.

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!