Aliran sastera boleh jaga kewangan negara? 

- Advertisement -

DULU aliran sains tulen dan juga perakaunan menjadi cita-cita ramai ibu bapa dan menyuruh anak-anak mereka menceburi bidang ini kerana lulusan aliran ini berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan.

Namun sekarang, mungkin tidak lagi. Anak-anak mesti digalakkan untuk mengambil aliran sastera dan bahasa kerana ia boleh dilantik menjadi Menteri Kewangan dan timbalannya.

Yang utama bukan pengurusan kewangan negara yang mampan kerana sudah terbukti ekonomi entah ke mana hala tujuannya. Yang penting ialah bahasa yang akan digunakan untuk menjawab soalan-soalan yang penting seperti celakin (bukan cerakin sebab lidah pelat) kerana ia memerlukan kemahiran bahasa.

Dan lebih memudahkan kerja ialah kadang-kadang timbalan menteri, tidak perlu menjawab pun soalan, walaupun soalan sudah diberikan beberapa minggu lebih awal. Tiada sikap amanah. 

Apa nak buat sebab ketuanya pun dahulu pernah dikatakan terbabit dengan kehilangan puluhan bilion wang rakyat akibat daripada aktiviti tukaran asing. Kemudian saling menyalahkan sesama mereka selepas bermusuhan. Siapapun yang salah, yang pasti dua perkara. Pertama wang rakyat tetap hilang dan kedua, PAS tidak terlibat.

Atau adakah mungkin bakal terjadi kepastian ketiga iaitu tiada seorang pun antara mereka yang akan dikenakan tindakan undang-undang.

Untuk rekod, ketuanya juga adalah seorang lepasan jurusan Pengajian Melayu, ditugaskan menjaga ekonomi. Hinakah lulusan sastera dan Pengajian Melayu? Oh, tidak kerana kecerdasan seseorang bukan terletak kepada apa jurusan yang diambil, tetapi pembuktian secara praktikal kerja mereka. Jadi apa-apa jurusan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. 

Cuma kita hanya ingin mengingatkan kisah dahulu apabila PAS dikatakan tidak akan berjaya memerintah kerana mereka adalah Pak Lebai. Kerajaan Kelantan hanya diberikan masa tiga bulan sebelum mereka dijangka akan runtuh. Sebegitu kita dihina. Alhamdulillah sudah melebihi tiga puluh tahun, bukan bulan, ia kekal utuh. 

Terengganu dan Kedah pula, bangkit dari kekalahan dan mengekalkan kerajaan untuk penggal kedua. Kini Perlis mengikut jejak langkah ketiga negeri ini. Pak Lebai inilah yang telah menjadikan negeri-negeri ini lebih baik dengan sokongan rakyat akibat daripada kepercayaan mereka terhadap PAS.

Maka penghinaan puak sekular kepada pemimpin beraliran agama adalah amat jauh meleset kerana yang berjaya tidak kurang dari mereka yang berkelulusan agama. Amanah memerlukan agama untuk dipikul. Namun begitu tanpa menafikan mereka bukan dari kalangan agama juga mempunyai integriti yang sangat tinggi. Dan PAS memiliki kedua-dua pimpinan sebegini, cerdik dan beramanah, tanpa mengira jurusan pengajian mana.

MOHD NASIR ABDULLAH
13 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 13/12/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -