Apa kerangka pelan pembangunan projek ECRL?

Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperincikan maklumat terkini mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merentasi tiga buah negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang  yang dijangka mengalami pembangunan termasuk menjana sosio ekonomi penduduk tempatan.

Senator Hussin Ismail berkata, kerajaan perlu mempunyai pelan pembangunan jajaran ECRL sepanjang 640 kilometer yang merupakan usahasama antara agensi dibawah Kementerian Kewangan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) itu.

- Advertisement -

“Minta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada kerajaan mempunyai satu kerangka pelan pembangunan yang khusus di sepanjang jajaran ECRL di negeri-negeri di Pantai Timur,” katanya pada sesi soalan lisan menteri di persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Hasbi Habibollah menjelaskan bahawa kerajaan sudah mempunyai perancangan pembangunan sepanjang laluan tersebut, yang membentuk tulang belakang pengangkutan menghubungkan Lembah Klang dan Pantai Timur.

Beliau berkata, ECRL dijangka memberi kesan yang dapat meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan pusat ekonomi dalam merangsang aktiviti ekonomi sepanjang koridor ECRL bagi mengagihkan peluang sosio ekonomi yang lebih seimbang antara wilayah di Malaysia.

“Usaha itu sudah diterjemahkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desan (PLANMalaysia) menerusi Pelan Induk Sepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur yang telah disahkan pada peringkat Perancangan Fizikal Negara pada 18 September lalu,” katanya.

Tambah beliau, pelan induk itu bertujuan untuk memastikan pelan guna tanah di sepanjang jajaran ECRL dan sekitar stesen ECRL termasuk projek pembangunan ekonomi dapat dikenalpasti serta potensi ECRL dalam menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Ia merangkumi Taman Perindustrian, Hub Logistik dan Pembangunan Transit Oriented Development (TOD) selain projek pembangunan dalam lingkungan 15 kilometer daripada jajaran tersebut ditentukan oleh kerajaan pusat dan negeri,” kongsinya.

Menurutnya, di Kelantan antara cadangan utama bagi stesen ECRL ialah pembangunan Bandar Baharu Tunjong, cadangan pembangunan hub logistik di Pasir Puteh dan cadangan pelabuhan darat di Bandar Baharu Tok Bali yang dijangka mampu diperkukuhkan sebagai hub kargo di Kelantan dan utara Terengganu.

“Di Terengganu pula, cadangan bagi pembangunan ECRL adalah membangunkan bandar lestari bagi lokasi terpilih yang berdekatan dengan stesen seperti Jerteh dan Kuala Terengganu, sebagai pengukuhan pembangunan bagi stesen-seten ini untuk  menjadi gerbang pelancongan di negeri ini.

“Sementara bagi Pahang, pelan cadangan bagi stesen ECRL ialah pembangunan Bandar Aero Angkasa di Stesen Cherating, Pembangunan Kota Sas, Pembangunan Bandar Baharu Maran dan Temerloh Smart City di Stesen Temerloh,” katanya.  HARAKAHDAILY 13/12/2023

- Advertisement -