Gelombang Dr Sam PM11 disambut semua

- Advertisement -

SATU berita yang tidak mengejutkan dengan kemenangan calon PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) dalam PRK Kemaman yang berakhir semalam. Setelah berpenat lelah, berusaha sedaya upaya dengan kekuatan seluruh jentera di Terengganu bersama bantuan jentera PAS dan PN dari seluruh serta doa yang tidak pernah padam mengharapkan Allah memberikan pertolongan, akhirnya semua usaha berbaloi.

Sebagaimana yang kita tahu, PAS dalam pilihan raya akan sentiasa memastikan mereka mematuhi kehendak dan peraturan yang telah disediakan. Kebesaran jiwa seorang bakal negarawan telah ditunjukkan oleh calon PAS apabila dalam Sidang DUN yang berlangsung ketika kempen pilihan raya, tidak digunakan beliau sebagai medan menabur janji bagi meraih undi rakyat.

Teladan yang beliau tunjukkan itu, menjadi pujian dari kalangan penjawat awam yang memuji sikap yang sangat profesional itu. Kakitangan awam diminta bersabar dengan tiadanya pengumuman bonus kerana Dr Sam tidak mahu mengumumkannya lagi. Mereka cukup memahami dan meyakini akan janji Dr Sam. Sikap beliau dan kepercayaan ini secara tidak langsung telah membuktikan cakap-cakap rakyat yang mendakwa beliau bakal menjadi Perdana Menteri (PM) ke-11 Malaysia.

Secara tiba-tiba di dalam kempen PRK, kita tidak mengetahui dari mana datangnya gelombang yang membawa mesej beliau bakal PM, tetapi apa yang pasti, ia disambut oleh rakyat dari seluruh pelosok negara. Malah Khairy Jamaluddin memberikan komentar positif beliau, TS Muhyiddin juga bersetuju, Tun Mahathir turut bersama arus ini. Ia menyebabkan kem PH-BN menjadi bergoncang, bergegar dengan kempen dari rakyat itu. Mereka terpaksa membalasnya dengan segala rekaan teori mereka yang mengarut.

Bantahan rakyat dan kempen bodoh PH-BN

Tetapi gelombang itu terlalu besar. PAS pada mulanya hanya mengharapkan majoriti bertambah sekitar 3,000, tetapi melihat sesuatu yang baharu dengan perubahan rakyat ini. Manakala di kem PH-BN terus berkecamuk dengan masing-masing mula menyerang. Paling pelik, bukan peribadi calon yang mereka utamakan, tetapi peribadi kepada Presiden PAS dengan fitnah yang diulang dari zaman dahulu. Paling kuat yang mereka boleh ketengahkan ialah Menteri Besar tidak boleh memberi tumpuan kepada dua kawasan. Tidak lupa tuduhan bibit-bibit Khawarij yang disebut oleh PM.

Semua yang mengarut ini, ditambah lagi dengan kebodohan Ketua Pemuda Umno yang berwajah ‘nerd’ tetapi ‘try hard’ buat ‘bekeng’ dengan memberhentikan keretanya di tengah jalan ketika lampu isyarat hijau, telah menambahkan lagi kebencian rakyat Kemaman terhadap PH-BN. Di samping dengan ketiadaan langsung ceramah oleh ‘heavyweight’ PH Terengganu seperti Azan, Raja Bahrin, Zamir Ghazali, mungkin tidak dijemput atau mahu membalas dendam sikap Umno sewaktu kempen PRU Negeri yang lalu, menambahkan lagi isyarat nyata kepada rakyat yang mereka saling bercakaran.

BN hilang undinya lebih kurang 10,000 berbanding tahun lalu. Manakala undi PH yang ketika itu masih belum bergabung dengan BN sebanyak 8,000 lebih, juga tidak masuk ke kantung BN. Ke mana ia menghilang? Ada berbagai kemungkinan yang patut dilihat. Antaranya 10,000 penyokong BN, membenci pakatan mereka dengan PH yang penipu itu. Ini juga mungkin tanda protes mereka terhadap pembohongan Presiden mereka yang menjanjikan tidak akan bergabung dengan PH.

Akan tetapi tidak tertolak kemungkinan mereka membenci kempen jahat dan bodoh oleh pimpinan PH-BN kerana malu mempunyai ketua yang tidak boleh berfikir dengan waras itu. Manakala 8,000 pengundi dari PH itu, masih membenci BN yang kata mereka penuh dengan penyamun dan penyangak. Mereka masih menunggu janji-janji pimpinan mereka agar dimasukkan Zahid ke penjara. Inilah sikap mereka. Semua mereka membantah kerajaan yang penuh penipuan ini kerana gagal menunaikan tanggungjawab.

Sikap kita menentukan masa depan negara

Akan tetapi, mereka masih malu atau kurang yakin dengan PAS. Itu tidak mengapa kerana mereka sudah berakar umbi duduk dalam parti mereka. Sayangnya harapan mereka yang mahukan seorang negarawan dari parti mereka tidak kesampaian kerana ketua mereka amat jauh dari integriti dan memenuhi janji-janji. Ia bukan dikatakan oleh cendekiawan dalam negeri, tetapi juga pemerhati politik luar negara, telah membuat satu kesimpulan, Anwar tidak boleh diharap sebagai pemimpin yang adil. Sebaliknya, pemimpin itu datang dari PAS.

Kepada penyokong PH-BN yang tidak mengundi PH-BN dan juga PAS dalam PRK Kemaman, saya sekadar membawa kisah bagaimana Yahudi di Madinah tidak mahu menerima Rasulullah hanya kerana baginda berketurunan Arab. Mereka mahukan keturunan Yahudi yang menjadi Nabi. Saya tidak maksudkan pengundi yang tidak mengundi PAS sebagai Yahudi dan Dr Sam sebagai Nabi, jauh sekali. Yang saya bawa ialah, sikap kamu. Buanglah sikap ego kerana PAS tidak pernah lokek untuk berkongsi pimpinan PAS dengan seluruh rakyat Malaysia kerana insya-Allah mereka akan membawa kebaikan.

Percayalah, kita boleh memajukan negara Malaysia dengan mengubah sikap dan memilih orang yang betul sebagai pemimpin negara. Insya-Allah pencaturan pimpinan PAS itu sedang mara ke Putrajaya. Terima kasih kepada seluruh pengundi PAS yang kekal tidak berganjak dengan jumlah yang hampir sama.

MOHD NASIR ABDULLAH
3 November 2023 – HARAKAHDAILY 3/12/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -